Pages

Subscribe

Monday, November 5, 2012

Cahaya Untuk Nur Islam


*Kita boleh menyuruh anak-anak perempuan kita bertudung litup dan labuh, namun diluar sana, mereka melihat perempuan-perempuan berpakaian seksi mencolok mata, di kaca tv, artis-artisnya berpakaian jauh dari apa yang didengarnya dari ibu dan bapa*
Cahaya Untuk Nur Islam
Alhamdulillah, pengalaman menjadi seorang bapa merupakan suatu pengalaman dan kegembiraan hidup dari anugerah dan karunia Allah yang tidak terhingga. Nur Islam kini telah pun 6 bulan, namun tempoh menjadi bapa telah bermula sementelah Nur Islam masih didalam kandungan lagi, mungkin peranan itu digalas jauh lebih lama sebelum itu, semasa masih bujang. Hakikatnya bagi seorang lelaki, tugas menjadi seorang bapa dan ketua keluarga itu bukan bermula sebaik akad telah dilafaz, namun persediaan dan tuntutannya bermula jauh lama sebelum itu lagi.
Membesarkan seorang anak perempuan merupakan tanggungjawab dan amanah yang besar tergalas di bahu ibu dan bapa, namun Rasulullah memberikan suntikan motivasi buat ibu bapa yang cemerlang dalam membesarkan anak-anak mereka,
Daripada Aisyah r.a., dari Rasulullah SAW baginda telah bersabda yang maksudnya, “Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)
Menjadi seorang bapa, pastinya kita menginginkan yang terbaik dari segala yang terbaik buat zuriat kesayangan kita. Ibu bapa akan berusaha sedaya mungkin untuk memberikan yang terbaik buat anak-anak mereka.

‘Overprotective’
Saya menyedari sikap dan perangai yang mungkin menjadi pendekatan yang lahir dari nurani seorang bapa, saya menjadi seorang yang ‘overprotective’ terhadap anak. Setiap masa memikirkan keselamatannya. Risau akan ditimpa kecelakaan, walaupun hakikat hati amat memahami bahawa segala musibah itu datangnya dari Allah, namun, sebagai seorang bapa, usaha untuk mencegah musibah dan bahaya itu perlu. Walaupun anak masih belum boleh meniarap dan bergerak jauh, jikalau ingin meninggalkannya sebentar diatas katil, saya akan pastikan untuk memagar katil dengan bantal-bantal, risau saat meninggalkannya dia telah boleh untuk bergerak jauh dan jatuh. Saya menjadi seorang bapa yang cuba menjauhkan marabahaya dari anak. Maka, menjadi seorang yang sangat ‘observant’ dan ‘perceptive’ untuk menilai risiko-risiko yang boleh menyebabkan bahaya.
Selain dari soal keselamatan, yang pasti, saya sudah memikirkan soal masa hadapannya. Risau dan runsing memikirkan dunia masa hadapan yang bakal ditempuhnya. Saatnya baru berusia sebulan, saya sudah memikirkan kelak mahu mengahwinkannya dengan siapa, apakah ciri-ciri bakal suaminya yang akan saya redha. Saya juga telah memikirkan persekolahannya kelak, suasana persekitarannya bagaimana, sahabat-sahabatnya siapa, dan pelbagai perkara lagi.
Membuat pilihan
Namun, disebalik semua kerunsingan itu, saya amat menyedari dan memahami bahawa sebagai seorang bapa, saya tidak mampu untuk mengawal dan mengongkong anak seperti kemahuan saya. Teringat perbualan bersama bapa mertua, katanya
“ Ayah hanya boleh mengajar anak-anak sedari kecil supaya mereka boleh membuat pilihan dan memilih yang terbaik, tetapi ayah tidak boleh memaksa mereka untuk memilih ”
Saya amat memahami maksud tersebut, sebagai seorang bapa, kita sedar kita tidak mampu memaksa anak-anak membuat pilihan walaupun kita merasakan itu yang terbaik buat mereka. Perkara terbaik yang kita boleh lakukan adalah mendidik mereka dan mengajarkan kepada mereka sistem dan nilai-nilai kehidupan untuk membantu mereka membuat pilihan didalam hidup mereka. Semoga apabila tiba masa mereka perlu membuat keputusan melibatkan hidup, iman dan masa depan mereka, mereka membuat pertimbangan berdasarkan acuan islam iaitulah Al-Quran dan Sunnah.
Sebagai ibubapa kita menyedari, dunia didalam rumah dan bi’ah yang kita cuba bentuk didalam keluarga dan rumah, adalah suasana yang teramat jauh berbeza dari suasana diluar rumah. Di dalam rumah kita ajar anak-anak untuk solat, beribadah dan takutkan Allah, namun suasana diluar akan menangkis imannya dan usaha-usaha kita kerana kemaksiatan yang dihidangkan kepada anak-anak kita.
‘Kehebatan’ suasana diluar rumah menangkis iman dari hati dan jiwa anak-anak kita semakin hari semakin hebat, malah jauh lebih hebat dari usaha kita mentarbiyah anak-anak menjadi muslim yang sejati.
Kita hanya boleh menyimpan anak-anak dirumah paling lama sehingga mereka berusia 7 tahun, apabila mereka telah mula bersekolah dan mengenali dunia luar, kita tidak mampu menapis dan menghalang anasir-anasir jahat dari mempengaruhi mereka. Yang ada hanya pelajaran yang telah kita ajarkan kepada mereka dalam membuat pilihan dalam kehidupan.
*Kita berusaha memagar anak-anak dari kebahayaan didalam rumah, namun diluar tingkap itu, kebinasaan yang besar cuba menelan mereka, adakah kita sudah berusaha ‘memagarnya’?*
Dunia luar
Ramai dari ibu bapa yang merasakan, kita hanya mampu mengawal anak-anak hanya apabila mereka berada di dalam rumah sahaja kerana kita boleh mencipta suasana soleh didalam rumah. Kononnya apa yang berlaku diluar rumah dan anasir-anasir jahat diluar rumah diluar kemampuan kita untuk mengubah dan mengawalnya.
Sebab itulah ramai dari kita yang amat ketat dan tegas mendidik anak didalam rumah, namun kita membiarkan masyarakat dan persekitaran yang melingkungi anak-anak kita punah atas alasan kita tidak mampu mengawal masyarakat.
Hakikatnya, kita mampu dan bertanggungjawab untuk mengubahnya. Walaupun kita tidak melihat tanggungjawab mengubah persekitaran itu demi masyarakat, tetapi haruslah kita fahami, tugasan kita membentuk persekitaran diluar rumah yang soleh adalah sebahagian tanggungjawab kita kepada anak-anak.
Tanggungjawab ibu bapa bukan semata-mata berjuang dan berusaha mencipta suasana dan persekitaran soleh didalam rumah dan keluarga, bahkan lebih dari itu, ia menuntut ibu bapa berusaha bersungguh-sungguh mencipta suasana persekitaran yang soleh diluar rumah, tempat anak-anak kita bermain-main, menuntut ilmu, menimba pengalaman dan mengutip khazanah Allah di muka bumi.
Maka, dari situlah, sebagai ibu bapa, kita berperanan berdakwah dan mengislahkan masyarakat bukan semata-mata atas kesedaran untuk kebaikan masyarakat, tetapi adalah untuk masa depan anak-anak kita sendiri. Jika kita mahu masa depan yang gemilang untuk anak-anak kita, kita tidak boleh berlepas tangan dalam mencipta persekitaran masyarakat yang soleh untuk anak-anak. Itu adalah sebahagian dari tanggungjawab kita kepada anak-anak.
Ibu bapa derhaka
Kita sesekali tidak mahu menjadi ibu bapa yang derhaka seperti kisahnya ‘Anakku Sazali’ kerana mengabaikan tuntutan dan tanggungjawab dakwah untuk mencipta persekitaran yang baik diluar rumah untuk anak-anak kita. Begitu juga, satu kisah yang terjadi di zaman Saidina Umar radiallahu’anhum.
Pernah berlaku di zaman Saidina Umar Al-Khattab r.a , seorang bapa mengadu tentang penderhakaan anaknya. Saidina Umar memanggil anak yang menderhakai bapanya dan bertanya apakah benar perkara tersebut berlaku serta mengingatkan budak itu tentang besarnya dosa menderhaka ibubapa. Lalu budak itu bertanya kepada saidina Umar : “Tidakkah anak juga ada hak ke atas ibubapanya?”. Saidina Umar menjawab “Benar”. Bertanya anak tersebut “Apakah hak ibubap terhadap anak”. Saidina Umar Menjawab : “Hendaklah bapa memilih ibu yang solehah, memberi nama yang baik dan mengajarnya Al-Quran”. Budak tersebut menyatakan tiada satu pun hak tersebut dipenuhi oleh bapanya. Lalu Saidina Umar bertanya kepada bapa anak yang mengadu tadi dengan katanya : “Adakah kamu datang untuk mengadukan kepadaku kederhakaan anakmu? Kamu telah menderhakinya sebelum dia menderhaki kamu”.
Kisah ini bukan sekadar menggambarkan kepada kita hak-hak dan tanggungjawab ibu bapa kepada anak-anak malah lebih dari itu menekankan satu aspek penting iaitulah kederhakaan anak-anak itu berpunca dari ibu bapa yang gagal menyediakan suasana yang baik untuk anak-anaknya.
Fahamilah bahawa menyediakan persekitaran dan suasana didalam masyarakat yang baik juga adalah tanggungjawab ibu bapa dan hak-hak seorang ibu bapa yang perlu dilunaskan kepada anak-anaknya.
Kesimpulan
Kesimpulannya, menjadi kewajipan kepada semua ibu bapa, bukan sekadar mencipta suasana dan persekitaran soleh didalam rumah, bahkan kita bertanggungjawab mencipta persekitaran masyarakat yang baik untuk tumbesaran dan pendidikan anak-anak kita. Ia akan menjadi hak yang akan dituntut oleh anak-anak kita kelak.
Sekiranya Sazali menyalahkan bapanya kerana terlalu memanjakannya dengan memberikan segala kemewahan dunia kepadanya sehingga dia alpa, anak-anak juga boleh mendakwa kita atas sikap lepas tangan kita yang tidak bersungguh menyediakan persekitaran yang baik untuk mereka diluar rumah.
Oleh itu ibu bapa sekalian, ayuhlah sama-sama kita mengembling usaha dan tenaga, mengislahkan masyarakat, kepimpinan dan negara kita kearah mencipta suasana yang baik untuk anak-anak kita kelak tumbuh dan membesar menjadi pejuang-pejuang agama Allah yang bertaqwa.
Ayuh kita sinari cahaya di masa depan anak-anak kita dengan cahaya islam untuk mereka membesar menjadi khalifah Allah dimuka bumi.

No comments: