Gaza terus dibedil
![]() |
| TERUS MEMBEDIL... Kereta kebal Israel terus melakukan serangan darat ke arah Genting Gaza tanpa menghirau resolusi PBB mengenai gencatan senjata. |
Zionis terus membedil Gaza dengan ‘azam’ untuk memastikan tiada lagi serangan roket oleh Hamas ke atas wilayah Israel. Angka korban rakyat Palestin meningkat kepada lebih 800 orang.
Tentera Washington buka tender sewa kapal dagang untuk hantar 3,000 tan peluru ke Israel.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon kecewa dengan kedegilan Israel dalam melaksanakan gencatan senjata.
Perdana Menteri Israel Ehud Olmert maklumkan negara Yahudi itu ‘tidak pernah setuju dengan campur tangan luar’ merujuk kepada Majlis Keselamatan.
Gaza terus bermandi darah
![]() |
| seorang remaja Palestin membawa sekampit tepung yang diagihkan oleh agensi bantuan PBB di sebuah pusat bantuan di Gaza City, kelmarin. - AP |
GAZA 10 Jan. - Pesawat udara, kereta kebal dan kapal tentera Israel membedil Genting Gaza buat hari ke-15 hari ini sementara askarnya terlibat dalam pertempuran sengit dengan pejuang Hamas di wilayah Palestin ini.
Rejim Yahudi itu terus tidak mempedulikan usaha antarabangsa untuk menghentikan keganasan yang telah membunuh lebih 800 rakyat Palestin.
Walaupun resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut gencatan senjata dilaksanakan segera dan usaha perantaraan giat dijalankan oleh Mesir dan Eropah, Israel nampaknya bertekad untuk meneruskan serangan.
Hamas bagaimanapun masih berupaya melancarkan roket ke selatan Israel hari ini dan dalam tempoh 24 jam lalu telah melancarkan kira-kira 35 roket ke wilayah Israel.
"Israel berazam untuk meneruskan kempen ini sehingga membawa kepada kesudahan yang positif, supaya tidak ada lagi serangan terhadap Israel dari Gaza," kata anggota Kabinet keselamatan Israel, Rafi Eitan.
Pegawai perubatan di Gaza berkata, sejak Israel melancarkan serangan pada 27 Disember lalu, sekurang-kurangnya 802 rakyat Palestin terkorban, termasuk 235 kanak-kanak dan 93 wanita manakala 3,350 lagi cedera.
Sejumlah 13 rakyat Israel terbunuh terdiri daripada 10 askar dan tiga penduduk awam yang terkena tembakan roket Hamas.
Dalam serangan malam tadi, tentera Israel mendakwa telah membedil 40 lagi kedudukan Hamas di Gaza dan membunuh 15 pejuang Hamas dalam pertempuran di darat.
Pertempuran paling sengit berlaku di jalan tepi pantai di sebelah utara Bandar Gaza, kata pegawai keselamatan Palestin.
Askar Israel mara ke dalam lingkungan 1.5 kilometer dari bandar tersebut sebelum berundur sedikit.
Sungguhpun tentera Israel telah menguasai jalan itu, pejuang Hamas terus beroperasi dari kedudukan tersembunyi di kawasan berkenaan.
Jalan itu biasa digunakan untuk melancarkan roket ke Israel atau menyerang bot tentera laut Israel di perairan Mediterranean.
AS hantar 3,000 tan peluru ke Israel
LONDON 10 Jan. - Tentera Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan tender untuk menyewa sebuah kapal dagang bagi mengangkut peluru ke Israel pada bulan ini.
Pentagon bagaimanapun menafikan penghantaran peluru tersebut ada kaitan dengan konflik di Genting Gaza.
Seorang jurucakap Pentagon berkata, peluru berkenaan adalah untuk simpanan stok peluru AS di Israel.
Tentera AS menyimpan stok senjata dan peluru di sesetengah negara bagi menghadapi kemungkinan bekalan diperlukan dalam tempoh singkat.
Menurut dokumen tender yang diperoleh oleh Reuters, tentera laut AS menyatakan kapal dagang yang hendak disewa itu dikehendaki membawa 325 kontena 20 kaki (6 meter) mengandungi apa yang disenaraikan sebagai "peluru."
"Penghantaran 3,000 tan peluru sekali gus adalah jumlah yang banyak.
"Permintaan seperti ini jarang dikeluarkan dan kami tidak melihat banyak sebut harga untuk tender sedemikian di pasaran sejak bertahun-tahun lalu," kata seorang broker.
Kapal tersebut dijadual melakukan dua pelayaran berasingan dari pelabuhan Astakos di Greece ke pelabuhan Ashdod di Israel dari pertengahan hingga hujung bulan ini.
Jurucakap Pentagon, Leftenan Kolonel Patrick Ryder berkata, beliau enggan mengulas mengenai laluan kapal atas sebab keselamatan tetapi mengesahkan penghantaran peluru ke Israel memang sudah dirancang sebelum ini.
"Kiriman yang sudah dijadualkan itu adalah urusan rutin dan bukan untuk menyokong kempen ketenteraan di Gaza," kata Ryder.
Sebuah syarikat perkapalan Jerman yang memenangi tender tersebut mengesahkannya tetapi enggan memberi maklumat lanjut.
Ki-moon kecewa kedegilan Israel
NEW YORK 10 Jan. - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menyatakan kekecewaannya dengan kedegilan Israel yang enggan melaksanakan gencatan senjata.
Kekecewaannya itu dinyatakan oleh Ki-moon selepas beliau menghubungi Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert semalam.
"Beliau kecewa dengan keganasan berterusan di Palestin dan keengganan Yahudi mematuhi arahan Majlis Keselamatan," kata jurucakap beliau, Michelle Montas.
Olmert dilaporkan memberitahu Ki-moon bahawa Israel akan meneruskan serangan ke atas Gaza.
"Israel tidak pernah bersetuju dengan mana-mana campur tangan luar dan memutuskan untuk terus mempertahankan hak keselamatan penduduknya," kata Olmert kepada Ki-moon.
Kelmarin, majoriti anggota Majlis Keselamatan mengundi agar gencatan senjata dilaksanakan segera bagi menghentikan kekejaman Zionis.
Setakat ini jumlah kematian penduduk Gaza melebihi 800 orang dalam serangan yang memasuki hari ke-14 semalam.





No comments:
Post a Comment