Pages

Subscribe

Thursday, February 4, 2010

Warkah Buat Embun



*lagu Embun kegemaran saye*

Assalamualaikum wbt..

Antara Filem Melayu kegemaran saya adalah Filem Embun arahan Erma Fatima, dan saya telah berulang kali menonton filem tersebut lantaran kesan mendalam yang ditinggalkan oleh filem tersebut. Embun, seorang gadis kampung yang manis, ayu dan sopan santun, namun demi kemerdekaan membebaskan bangsa, beliau bertukar menjadi singa yang mengaum menghambat dan menggigit penjajah. Hari ini, saya ingin menitip sebuah warkah buat Embun kerana merasa kecewa melihat gelagat manusia yang semakin pudar semangatnya, tidak lagi seperti Embun. Hanya kepada Embun, aku bisa meluahkan rasa hati.

Kehadapan Saudari Embun,

Kutitip sebuah warkah cinta bersulam gundah gulana buat kau yang telah lama merdeka, membiarkan kami di generasi baru terjerat, terperangkap dalam sarang penjajahan ciptaan kami sendiri. Dengarlah luahan hati ini wahai Embun, lihatlah kedasar hatiku agar kau bias memahami.

Embun, kau memang pejuang sejati. Ingin sekali aku ambil biar sedikit semangatmu, untuk ku siram kepada umat hari ini, yang kononya telah merdeka. Embun walaupun kau membebaskan kami dari cengkaman penjajah, namun kami masih belum merdeka. Kami umat islam masih belum merdeka. Hanya sebuah tanah kecil di pelosok asia tenggara yang merdeka, namun umat islam, masih jauh dari sinar kemerdekaan. Istilah merdeka belum lahir dalam umat islam abad ini. Hanya kami sahaja yang berada dalam fantasi sendiri, dibuai oleh sebuah istilah merdeka, merasa selesa dan aman dengan istilah merdeka, namun hakikatnya, kemerdekaan itu sangat jauh dari genggaman. Kami hanya bermimpi wahai Embun, alangkah malangnya kami.

Wahai Embun, wajarkah aku menyatakan bahawa umat islam telah merdeka tatkala anak kecil di Palestine ditembak dan hanya darah merah yang membasahi Bumi? Jika hati sayu mengenangkan fitnah Mahsuri yang menumpahkan darah putih di Langkawi, namun kenapa hati umat ini langsung tidak berdetak tatkala darah merah bagaikan sungai mengalir di Palestine? Hati anak muda berdetak pada rentak muzik, menari mengikut tempo, namun dendangan gendang Jihad telah lama berkumandang, namun anak muda gagal menari mengikut rentaknya. Kita memekakkan telinga pada laungan jihad, tetapi memasang telinga pada irama dangdut, pop, hard rock, pop rock, Indie dan pelbagai rentak tempo. Wajarkah kami isytiharkan kemerdekaan ini, wahai Embun?


Wahai Embun, kau pernah dirogol dan diperkosa oleh penjajah, namun semangatmu tidak pernah sedikit pun disentuh oleh tangan-tangan kotor Laknatullah. Biar badan mu menjadi saksi perjuanganmu, betapa kau telah merdeka. Namun sayangnya Embun, umat islam kini bukan sahaja diperkosa kehormatanya, malah telah dibunuh sama sekali. Semangat dan keazaman umat islam semakin lama semakin mati. Semangat dan pegangan aqidah umat ini yang telah dirogol dan diperkosa, maka semangatnya menjadi luntur, tiada lagi pegangan aqidah yang bias menjadi bukti bahawa dia inginkan sebuah kemerdekaan.

Wahai Embun, abangmu dipenjara, ayahmu dibunuh, ibumu disepak terajang, tapi kau masih tabah. Kau masih serikandi. Kau tetap inginkan sebuah kemerdekaan dan kau rela melepaskan sebuah mahar cinta seorang lelaki. Aku juga tertanya apakah yang mengobar bara di hatimu. Adakah Syurga yang abadi? Namun umat ini tewas pada cinta yang mengulit. Cinta membawanya ke pintu neraka, merosakkan nya. Nafsu syahawat menjulang cinta ke langit, membawa kepada kemungkaran. Anak muda bukan lagi takat berpegang tangan,peluk cium, bahkan tidur bersama menjadi kebiasaan. Perlukah sehingga abangnya dipenjara, ayahnya dibunuh, ibunya disepak terajang baru ia akan sedar bahawa dia belum merdeka. Perlukah neraka dibawa kebumi ini untuk dilihatnya, baru dia akan percaya penderitaan dan azab neraka itu? Umat ini menyangka bahawa mereka bercinta atas sebuah kemerdekaan, namun mereka sebenarnya bercinta atas sebuah penjajahan. Nafsu yang menjajah mereka, membiarkan mereka lemas. Cinta mereka dijajah nafsu. Mereka jauh dari ruang kemerdekaan yang akan membawa kebahagian didunia dan akhirat.

Wahai Embun, dimanakah kemerdekaan tatkala islam dihalang untuk dilaksanakan diatas muka bumi Pencipta-Nya sendiri? Tatkala anak gadis dihalang untuk bertudung di Amerika, adakah itu kemerdekaan buat umat islam? Tatkala undang-undang milik Allah Pentadbir Sekalian Alam, dihalang dari dilaksanakan diatas bumi-Nya sendiri, adakah laungan kemerdekaan itu wajar kita laungkan?Aku masih ingat dalam lembaran sirah bahawa di Madinah Rasulullah tidak pernah menghalang kaum bukan islam mengamalkan ajaran mereka, maka islam memberi mereka sebuah kemerdekaan, namun mengapa, hari ini Islam tidak diberi sebuah kemerdekaan selayaknya? Aku keliru wahai Embun. Salah Kafirun itu sangat dasyat, namun salah umat islam yang berdiam diri lagi teramat dasyat. Wajarkah kami isytiharkan kemerdekaan ini, wahai Embun?

Wahai Embun, hati ku luluh melihat umat islam dituduh, difitnah dicaci dan dipandang serong. Namun hatiku lebih parah melihat umat islam tidak langsung cuba untuk menentang, menegakkan apa yang benar, sebaliknya membiarkan kebenaran itu hanya di telinga masing-masing. Telah aku gerakkan mereka yang masih terlena, namun mimpi sebuah kemerdekaan masih mengulit lena mereka. Telah kusimbah air merah mendarah kemuka mereka memberi kesegaran baru untuk memegang panji islam membebaskan kita, mereka bangun sebentar menenyeh mata membuang tahi yang melekat, kemudian kembali tidur kerana merasakan mimpi sebuah kemerdekaan itu lebih nyata, lebih reality. Perlukah aku merotan mereka menyergah mereka untuk bangun, biar sakit yang mereka rasa, tetapi kesakitan umat lain jauh lebih menyayat hati. Lebam hasil rotanku akan surut, namun parut luka berdarah di tanah berdarah entah bila akan sembuh. Oh Embun aku buntu apa yang perlu dilakukan.
Wahai Embun, kau bebaskan sebuah tanah bernama Malaysia, namun kau gagal membebaskan sebuah umat dari penjajahan. Kau gagal membebaskan umat islam dari kepompong penjajahan. Maka seharusnya, generasi ini yang meneruskan pejuanganmu memerdekakan umat islam


Terima kasih kerana mendengar keluh kesah ku. Kau memang pejuang sejati wahai Embun, pejuanganmu akan diteruskan oleh generasi baru bersemangat Embun, bagai titisan Embun di pagi hari yang melata di segenap penjuru, yang hadir setelah melalui malam yang gelap dan gelita, makasemangat kemerdekaan ini wajar menerjah setiap ruang bumi menggerakkan kita yang telah panjang lenanya. Sampai bertemu lagi dalam warkah yang lain.

No comments: