Pages

Subscribe

Friday, March 5, 2010

Middle Malaysia

Konsep Middle Malaysia yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng yang terkenal dengan membawa pendekatan Amal Ma’ruf Nahi Mungkar nya sungguh menarik untuk dibincangkan dan diteliti. Adakah konsep Middle Malaysia ini hanya satu omongan kosong sebagai untuk melawan propaganda Perdana Menteri, 1 Malaysia? Atau adakah ini menjadi aspirasi kepada Guang Eng sendiri sebagai satu cara untuk menarik undi Masyarakat Melayu Islam? Pelbagai spekulasi dibincangkan berkenaan konsep Middle Malaysia ini.

Saya kira ianya menjadi aspirasi bagi setiap pemimpin untuk membawa perubahan melalui ideology dan konsep yang ingin dibawakan kepada rakyat sebagai hala tuju pemerintahan mereka. Tun Abdul Razak terkenal dengan Dasar Ekonomi Baru, Tun Mahathir terkenal dengan Wawasan 2020, Tun Abdullah dengan Islam Hadhari, dan Dato’ Seri Najib dengan 1 Malaysia. Tidak terkecuali juga Guang Eng dengan Middle Malaysia.

Apakah sebenarnya Middle Malaysia ini. Memetik kata-kata dan penjelasan Guang Eng sendiri dalam Harakahdaily baru-baru ini, yang dimaksudkan Midle Malaysia atau Malaysia Tengah adalah konsep di mana kita bersederhana dalam semua hal. Bukan ektremis. Kita ambil pendekatan pertengahan, tidak melampau. Pertama dalam ekonomi. Ekonomi yang maju, yang adil, dan memberi peluang kepada semua untuk mengecapi kejayaan.

Kedua ialah isu pendidikan. Mahu sistem pendidikan yang cemerlang dan memberi peluang juga kepada semua. Yang ketiga mahukan sebuah masyarakat yang selamat tanpa ancaman jenayah. Keempat ialah bahawa mereka mahukan satu masyarakat yang merangkumi semua di mana kita berkongsi nilai-nilai bersama berdasarkan keadilan, kebajikan rakyat, kebenaran dan ketakwaan kepada Tuhan. Yang kelima tentu mereka mahu kepimpinan yang berintegriti supaya kita dapat menjauhi diri daripada gejala rasuah bersifat amar makruf nahi mungkar.

Menarik untuk kita melihat apabila beliau membawa konsep Ketakwaan kepada Tuhan dan amal makruf nahi mungkar yang tidak lain dicedok dari konsep dan prinsip islam sendiri walaupun beliau meletakkannya di nombor yang kebawah bukan yang pertama.

Menyingkap kembali, prinsip dan ajaran islam, sememangnya apa yang dibawa oleg Guang Eng itu adalah tidak lain dicedok dari Islam dan Al-Quran sendiri. Saya pasti kita pernah mendengar gelaran yang diberikan kepada Umat Muhammad sebagai ‘ Ummatan Wasoto’ atau ‘Umat Pertengahan’. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 143

‘ Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia dan Rasulullah pula akan menjadi saksi kebenaran perbuatan kamu…”

Allah mengiktiraf umat Muhammad sebagai umat pertengahan, tidak condong ke kiri ataupun kekanan. Mereka adalah umat yang adil dan sederhana dalam sebarang urusan, sama ada duniawi ataupun ukhrawi. Tiada pernah wujud istilah extremist dalam islam, maka label yang diletakkan oleh barat kepada islam sebagai extremist adalah satu propaganda jahat yang bertentangan dengan ajaran islam sendiri. Kesederhanaan dan keadilanlah yang sebenarnya menjadi prinsip hidup umat Muhammad.

Umat Muhammad menjadi umat pertengahan dari segi ibadah, muamalah dan sebagainya. Dalam masalah ibadah kita hanya dituntut untuk mengerjakan solat hanya 5 waktu sehari semalam, sedangkan kuantiti ini adalah sangat sedikit jika hendak dibandingkan dengan nikmat Allah yang melimpah ruah tiada hentinya pada setiap saat. Udara yang disedut, darah yang mengalir semuanya adalah nikmat yang tidak terbayar dengan hanya 5 kali solat dalam sehari. Namun Allah mengkehendaki kita hanya untuk solat 5 kali kerana tidak membebankan hambanya. Terdapat sebuah hadith baginda yang memperihalkan akan keserhanaan dalam beribadah kepada Allah

Umat nabi terdahulu, jika pakaian mereka yang diguna untuk beribadat terkena najis, mereka terpaksa menggunting pakaian yang terkena najis itu sebelum mereka boleh beribadat, tetapi umat Muhammad hanya perlu membasuh sahaja. Inilah kesederhanaan yang dianugerahkan kepada kita Umat Muhammad.

Begitu juga apabila umat terdahulu melakukan kejahatan seperti mencuri pada waktu malam, keesokkan harinya pada pintu rumah mereka tertulis nama pencuri yang ditulis oleh Malaikat. Sebaliknya umat Muhammad yang melakukan dosa pada waktu malam, mereka boleh bertaubat dan mohon ampun pada Allah tanpa nama mereka terpapar di pintu rumah mereka. Begitulah kita dijadikan umat pertengahan dan tidak berlebihan dan dimudahkan dari segenap urusan.

Selain itu, Umat Nabi Musa dahulu jika mereka mahu bertaubat kepada Allah maka mereka pergi ke atas bukit dan terjun sebagai cara taubat mereka. Itulah yang diarahkan Allah kepada Bani Israel setelah mereka syirik menyembah anak sapi betina dalam masa ketiadaan Nabi Musa selama 40 hari. Namun, kita hari ini tiada perlu memanjat bukit, hanya perlu mendah tangan beristighfar memohon ampun kepada Allah dengan sebenar-benar ikhlas maka Allah akan menerima taubat kita.

Kesederhanaan dalam beribadah juga dianjurkan oleh Rasulullah melalui sebuah hadith baginda

Berkata Imam Bukhari: Sa`id bin Abi Maryam bercerita kepada kami: Muhammad bin Ja`far memberitahu kami: Humayd bin Abi Humayd Tawil (yang tinggi) memberitahu kami bahawa beliau mendengar Anas bin Malik radiyallahu `anhu berkata:

“Tiga orang lelaki datang ke rumah isteri-isteri Nabi saw bertanyakan tentang ibadah Nabi saw. Apa mereka diberitahu mereka bagaikan menganggapnya sedikit. Lantaran itu mereka berkata: “Di manakah kita berbanding Nabi saw sedangkan telah diampunkan untuk baginda dosa-dosa terdahulu dan terkemudiannya”. Berkata salah seorang mereka: “Adapun saya pasti akan mengerjakan solat sepenuh waktu malam selama-lamanya”. Berkata pula yang lain: “Saya akan berpuasa setahun penuh tanpa berbuka”. Berkata lagi seorang lagi: “Saya pula akan mengasingkan diri daripada wanita-wanita dan tidak berkahwin selama-lamanya”. Baginda saw lalu datang menemui mereka lantas bertanya: “Kamukah yang berkata demikian-demikian? Adapun saya demi Allah merupakan orang yang paling takut dan paling bertaqwa kepada Allah di kalangan kamu tetapi saya berpuasa dan berbuka, saya solat dan tidur dan saya mengahwini wanita-wanita. Oleh itu sesiapa yang bencikan sunnahku maka dia bukan di kalanganku.”

Sunnah Nabi ini menggambarkan kesederhanaan dalam beribadah. Sikap berlebih-lebihan dalam beribadah ditolak kerana di satu peringkat ia boleh membawa kepada kebosanan. Kebosanan itu nanti menjadi pendorong untuk amalan tersebut ditinggalkan secara total. Kebosanan ini akan berlaku kerana ia bercanggah dengan fitrah jiwa dan kemampuan fizikal manusia itu sendiri.

Untuk menepati fitrah dan kemampuan manusia dalam beribadah baginda menganjurkan sikap “berdikit tetapi tetap dan berterusan”. Ini diterangkan oleh `Aisyah apabila ditanya tentang amalan yang paling disukai oleh Nabi. Beliau menegaskan: “amalan yang berterusan.”

Maksudnya: “Sebaik-baik amalan ialah yang berkekalan dilakukan oleh pelakunya meskipun sedikit.”

Sungguh lagi benar, Umat Muhammad ini dijadikan Allah sebagai Umat pertengahan yang tidak extreme dan tidak kurang. Allah menjadikan Islam sebagai agama yang mudah untuk kita. ISLAM IS MADE EASY UPON US.

“…Allah menghendaki kemudahan bagi kamu, dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu …” Al Baqara : 185

“Permudahkan, jangan kamu susahkan; dan berilah khabar gembira dan jangan ditakut-takutkan (sehingga membuatkan orang lari)” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Allah telah menganugerahkan kesederhanaan dan kemudahan buat kita. Namun keserhanaan itu bukanlah alasan untuk kita MEMUDAHKAN AGAMA dan menjadi malas dalam beribadah. Ketekunan dan ketakwaan dalam ibadah itu adalah asas kepada perhambaan kepada-Nya.

No comments: