Pages

Subscribe

Saturday, December 18, 2010

Kembalinya Seorang Pejuang

Kembalinya Seorang Pejuang

“Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah kedalam syurga-Ku.” (Surah Al-Fajr,27-30)

Telah kembalinya seorang pejuang Allah mengadap Hadrat ilahi dengan izin Nya, Akhi Mas Afzal Masaruddin. Setiap yang pernah mendengar namanya, yang pernah mendengar ceritanya, pasti merasakan, satu kehilangan.

Setelah mendengar perkhabaran kematian beliau, status-status facebook, mula berkabung mengingati beliau. Yang mengenalinya, mahupun bukan, semua merasakannya. Satu status seorang sahabat mengingatkan saya kepada artikel yang dibaca beberapa hari yang lalu. Statusnya berbunyi

“ walaupun aku tak pernah bersua denganmu… “


Membaca kisah seorang tokoh ulama besar, Syaikhul Islam Muhammad bin Aslam atau panggilannya Abu al-Hassan al-Tusi.

Diriwayatkan mengenai Abn Aslam ini, setiap hadis yang ia ketahui segera diamalkan meskipun hadis tersebut lemah sanadnya. Dia juga sangat kuat beribadah di tempat yang tersembunyi daripada pandangan manusia. Ia berkata, “ Seandainya aku boleh melakukan ibadah tanpa dilihat oleh kedua-dua malaikatku, nescaya aku akan melakukannya kerana takut dengan sifat riya’.” Setiap malam, ia selalu bermunajat sambil menangis hingga pagi. Lalu setiap kali hendak keluar rumah ia segera membasuh muka dan bercelak mata agar tidak ada yang mengetahui perbuatan tersebut. Demikian hubungan baik yang terbina antara Ibn Aslam dengan Tuhannya.

Semua penduduk Baghdad pad amasa itu sangat mencintai dna menghormati beliau. Abu Nuaim meriwayatkan bahawa pada hari kematiannya, ia terlihat ratusan ribu bahkan jutaan manusia datang untuk mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan.

Melihat hal itu, Imam Ahmad bin Nasr al-Khuzai berkata kepada ,murid-muridnya,

“ Wahai saudaraku sekalian, Tidakkah kamu melihat (Ibn Aslam ini) ketika ia memperbaiki hubungan dengan Allah, maka Allah memperbaiki berjuta-juta manusia melalui dirinya?”

Kisah ini sungguh memberi kesan di hati, apabila melihat Allahyarham Mas Afzal melalui konteks ini. Saat beliau gigih berjuang menentang penyakitnya, namun haknya kepada Allah melalui jalan dakwah tidak pernah diabaikannya. Maka, Allah membaiki diri manusia-manusia lain melaluinya. Hinggakan yang tidak pernah bersua dan bertemu dengannya, mungkin hanya membaca tulisan-tulisan semangatnya di blognya, sudah cukup merasakan semangat seorang pejuang ini, yang tidak pernah berhenti berlari, walupun ujian berat mendepaninya.

Seorang ulama tabiin di Madinah yang bernama Abu Hazim Salamah bin Dinar pernah berkata,

“ Tidaklah seseorang memperbaiki hubungannya dengan Allah s.w.t, melainkan Allah akan memperbaiki hubungannya dengan semua hamba-Nya. Dan tidaklah ia merosakkan hubungannya dengan Allah, melainkan Allah akan merosakkan hubungannya dengan semua hamba-Nya “

Saya telah mendengar kisahnya dari mulut dan perkhabaran rakan-rakan lain sebelumnya. Kemudian hanya berpeluang mengenalinya melalui blognya sahaja. Kemudian, pada cuti musim panas yang lalu, kami tekad untuk membawa beliau menjadi penceramah program DIA ATAPHIJAU untuk berkongsi pengalaman hidupnya.

Sungguh beliau seorang yang cekal. Tabahnya seorang daei turun ke medan jihad ini walau tubuh mengheret ke bumi. Kesanggupan beliau datang ke program, yang bukan sedikit meragut tenaganya, tidak sedikit pun membuatkan senyumnya kurang, malah semakin manis ketika menyapa dan semangatnya tidak sedikit pun luntur tatkala berkongsi pengalaman dan ilmunya. Sungguh, dia seorang pejuang yang dikagumi. Masakan tidak yang mengenalinya mengatakan beliau seorang yang tidak pernah berhenti berlari. Sentiasa berlari kearah Tuhannya dengan penuh semangat dan kecintaan.

Allah lebih menyayangi hamba-Nya. Kembalinya Seorang Pejuang kehadrat Ilahi, meninggalkan kesan motivasi dan semangat yang cukup mendalam dalam diri-diri manusia yang pernah disentuh olehnya, secara bersemuka, mahupun secara tulisan. Kisah perjuangannya menjadi inspirasi. Kisah ketabahannya menjadi saksi bahawa dia pejuang sejati.

Jangan biarkan perkabungan hari ini mati bersama waktu yang berlalu. Jadikan hari ini sebagai saksi yang menjadi sumber inspirasi kepada diri kita semua untuk mencontohi si pejuang yang sejati. Mencontohi keperibadiannya, mencontohi kerendahan hatinya, mencontohi ketabahan nya di medan perjuangan ini.

Tangisan kesedihan kita menangisi kepulangannya akan berhenti jika tidak esok, lusa. Namun, jangan biarkan butir tangis beliau di medan ini kering dari menjadi saksi membakar semangat inspirasi dalam diri kita, untuk meneruskan perjuangan yang telah beliau tinggalkan kepada kita.

Dan jangan biarkan medan jihad dan dakwah ini kering dan gersang dengan pemergiannya. Biarlah kita, yang hari ini menangisi pemergiannya, membasahkan medan jihad ini dengan peluh, airmata dan darah kita sebagai ganti kepada yang telah pergi, agar kesinambungan dakwah ini berterusan membawa kita bersamanya, didalam hati dan doa.

Untuk kita yang masih tinggal dimedan ini, berjanjilah untuk terus berbakti tanpa berhenti. Berjanjilah atas kesaksian ini bahawa kita akan terus melangkah dengan izin Allah yang Maha Kuasa. Berjanjilah, berjanjilah, berjanjilah dengan diri dan Allah yang menjadi saksi.

Sengaja saya memilih tajuk Kembalinya Seorang Pejuang, bukannya Pulangnya Seorang Pejuang, pulang bererti meningalkan, namun, kembali bermaksud, ia datang bersama kita. Pemergiannya akan mengembalikan semangat yang tidak pernah pudar dalam diri kita. Di saat diri kita rebah dan lemah, ketabahan beliau, semangat beliau akan KEMBALI kepada kita, kembali mengingatkan kita akan kisahnya yang cekal, dan mendorong motivasi kita untuk bangkit semula.

“Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah kedalam syurga-Ku.” (Surah Al-Fajr,27-30)

Semoga Allah mencucuri rahmat keatas ruhnya dan menempatkan beliau bersama hamba-hambanya yang soleh.

Al-Fatihah

* Seluruh crew AtapHijau mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Mas Afzal Masaruddin *

No comments: