Pages

Subscribe

Wednesday, June 8, 2011

Jenayah Hati : Pengajaran Dari Banduan

Jenayah Hati : Pengajaran Dari Banduan

Tengah hari itu, usai solat zohor di Pusat Dakwah Islam Negeri Kedah, sedang aku duduk ditangga mengenakan kasut untuk bergerak menyelesaikan urusan dunia yang lain, seorang lelaki berpakaian seluar jeans pendek yg koyak-koyak, mengenakan singlet putih, dengan rantai silver bersize besar di leher, rambut berwarna keperangan akibat diwarnakan dan tangan yang bertatu nazi di bahu, duduk disebelahku dan memberikan salam dan menyapa diriku.

‘Assalamualaikum, bang’ sapaan lelaki itu mengundang banyak mata untuk menoleh kepadanya lantaran pemakaiannya dan keberadaannya di hadapan rumah Allah itu.

‘Waalaikumussalam wbt’. Jawabku semula, namun tiada senyum mampu terukir dibibir.

Sungguh syaitan mula memainkan helahnya. Hati berperang untuk terus bersangka baik, namun tewas tanpa disedari. Bak kata orang itulah penangan ‘first impression’, bukan impresi pertama yang baik atau husnu dzon tetapi lebih tepat adalah bersangka buruk kepada manusia.

Kemudian, lelaki it uterus berkata-kata

‘ Bang, saya nih bekas banduan, baru keluaq dari penjara. Surat penjara pun ada lagi. Nak tengok ‘. Katanya sambil tangan cuba menyeluk saku mengambil surat tersebut.

Lantas hatiku berdegup kencang. Telahan pandang pertama tadi mungkin bukanlah semata-mata buruk sangka, tetapi ada kebenaran, bisik syaitan pada hati, untuk terus memperdayakan aku. Ah sukar sungguh untuk terus bersangka baik. Bila kufikirkan semula, bagaimana agaknya raut wajahku ketika itu, yang pasti tiada langsung senyuman dipamerkan.

Lelaki itu kemudiannya menyambung,

‘ Saya baru keluaq penjara. Tapi oghang-oghang tengok kita macam kita nih anjing, depa buat kita macam sampah. Nasib ada abang nih nak tolong ‘ katanya sambil menuding jara ke arah seorang lelaki muda yang berada disampingnya yang hanya menundukkan muka.

‘Zzzaaaaappppp’

Kata-kata tersebut terus menampar kepipiku. Mungkin pandangan mataku tidak melihat anjing dihadapan, tetapi pandangan hati mungkin merasakan bergitu, dan bagi dirinya yang dipandang, itulah penghinaan keatas dirinya yang dirasakan. Manusia tidak perlu mengeluarkan kata-kata nista panjang lebar untuk menuturkan penghinaan, cukup sekadar kerlingan mata dan raut wajah, itu sudah cukup.

‘Mungkin depa nak kita jadi anjing semula kot ‘ sambungnya lagi.

Tiba-tiba hati merasa sayu mendengarkan ungkapan tersebut. Berkali-kali juga dia mengulang ayat yang sama berkenaan pandangan masyarakat terhadapnya. Ibarat mahu mengadu menceritakan nasibnya yang malang kepadaku, lantaran sikap manusia, atau sebenarnya dia sendiri mahu menegur sikapku.

Dia meneruskan kata-katanya memberitahuku bahawa dia mahu pulang ke pangkuan keluarganya di Baling. Dia mahu pulang dan membuang semua tatu-tatunya. Ku lihat sebening harapan untuk meneruskan kehidupan dimatanya.

‘Siapa ada kt rumah? Mak dan ayah ada lagi ka?’ tanyaku mahukan kepastian

‘ Mak ayah mati dah. Chai sorang jaaa ada dirumah ‘. Aku tidak meneruskan siasatan untuk bertanya siapakah individu bernama Chai tersebut. Mungkin kenalan, mungkin sanak saudara, tetapi gayanya menceritakan berkenaan lelaki itu, sungguh seperti dia merindukannya.

‘ Dahtu nak balik Baling camana nih?’ aku bertanya lagi

‘ Tu saya nak mintak bantuan abang tuh. Nak naik bas. Tiket harga RM9.50. Tapi takdak duit ‘ katanya.

Syaitan terus membisikkan ke hati bahawa orang ini hanya nak curi duit aku sahaja. Semakin lama semakin hatiku bersangka buruk padanya.

Lantas ku keluarkan duit RM 10 dari dompetku dan kuberikan padanya. Dia seperti teragak-agak untuk menerimanya.

Katanya, ‘Eh nanti abang nak makan apa ‘

Aku hanya tersenyum dan berlalu pergi. Ketika aku meneruskan perjalanan untuk menyelesaikan urusan tergendala, akau rasa aku terserempak dengannya semula berlegar-legar di pasar raya besar itu, tetapi ku tidak hiraukan lagi bisikan syaitan dihati.

Sekalipun lelaki itu mahu menipu duitku, tetapi tetap dia perlu makan dan minum. Mungkin nilaian RM 10 itu sungguh kecil jika hendak dibandingkan dengan nilai pelajaran yang kuterima pada hari itu. Walaupun perbualan itu berlangsung begitu pantas, hanya 5 minit mungkin, namun pengajarannya meresap ke dalam hati.

************************************************************************

Keesokkan harinya, aku menziarahi adik yang sakit dihospital. Adik ditempatkan di wad orang-orang dewasa kerana wad kanak-kanak sudah penuh. Agak menakutkan berada di wad itu kerana ia adalah wad pesakit-pesakit kritikal. Baru sahaja sampai petang itu seorang pesakit telah mati, esoknya seorang pesakit dihadapan katil adik pula dipanggil mengadap Ilahi.

Yang menarik perhatianku kali ini, seorang lelaki tua berada disebelah kiri depan katil adik keseorangan ketika waktu melawat sudah bermula. Pelik. Hospital ini kurasakan seperti pasar raya apabila waktu melawat tiba kerana ramai orang dating melawat sanak saudara dan kenalan mereka, tetapi lelaki itu dilawati beberapa kali oleh lelaki-lelaki beruniform berwarnak coklat. Aku sungguh musykil, kemudian barulah ku ternampak tangannya yang digari dengan rantai yang diikat ke tepi katil.

Baru kufahami, seorang penjenayah yang sakit dibawa kehospital untuk menerima rawatan dan dikawal oleh pegawai-pegawai penjara. Daripada apa yang aku dengar, dia bersalah atas kesalahan mengedar dadah.

Saat ternampak gari ditangannya, terus syaitan membisikan pelbagai sangkaan buruk didalam hati. Allah, kerja jahat syaitan tidak pernah berhenti.

Petang itu, dia bangun dan cuba-cuba menyingkap langsir disebelah katilnya. Namun, tangan yang bergari menghalang pergerakkannya. Kemudian, seorang perempuan cina yang melawat sanak saudaranya yang berada disebelah katil banduan yang sakit itu, memberikan senyuman manis padanya kemudian membantu menyingkap langsir dan membuka tingkap padanya.

‘ Baghu terasa berangin sket ’. Kata banduan itu pada perempuan cina itu. Perempuan cina itu kemudiannya bersembang-sembang dan berbual-bual dengan banduan itu dan melayannya dengan sungguh baik sekali. Walaupun pertama kali berjumpa, ibarat tiada langsung prejudis dihatinya melihatkan lelaki itu seorang banduan. Tiada kerisauan dihatinya jika banduan itu mengapa-apakan dirinya.

Sungguh aku yang melihat adengan itu terkesima, kerana sekali lagi menerima tamparan pada hari itu. Sedang seorang perempuan cina melayan manusia lain tanpa prejudis dan menghukum, tetapi aku yang kononnya ditaklifkan Allah menjadi daei ini sungguh kuat bersangka buruk dan menghukum manusia.

Sungguh dua pengalaman dalam dua hari yang berbeza, diberi kesempatan oleh Allah untuk berhadapan dengan ‘penjenayah’ dari penjara. Walau sebesar manapun jenayah mereka, tetapi aku merasakan jenayahku menghukum mereka, menghina mereka melalui pandangan mata dan raut wajah serta buruk sangka pada mereka, itu jenayah hati yang jauh lebih besar.

No comments: