Pages

Subscribe

Friday, October 21, 2011

Ahh, Jijiknya Politik!

Ahh, Jijiknya Politik!

Ahh, jijiknya politik!! Itulah ayat-ayat yang sering kita dengar dari mulut anak-anak muda masa kini apabila mereka menilai, memerhati dan ‘menganalisa’ geo-politik negara Malaysia. Senario politik Malaysia yang pelbagai ragam dan rencah seringkali menilbulkan pelbagai respon dalam masyarakat.

Jika dahulu istilah politik kafir mengkafir menjadi satu label kepada politik Malaysia, kemudian berubah kepada politik caci maki dan terbaru politik lucah dilabel kepada frasa politik itu. Pelbagai kata nama diberikan kepada frasa ‘politik’ Malaysia bagi menggambarkan situasi dan keadaan politik masa itu. Apa yang diharapkan oleh rakyat dan anak muda adalah suatu uang diistilahkan sebagai ‘Politik Matang’ dengan mengambil contoh negara Barat yang matang berpolitik.

Namun, entah mengapa istilah ‘Politik Islam’ jarang-jarang dilabel kepada agenda politik negara sedangkan itulah matlamat utama yang digariskan oleh islam bagi setiap yang beriman itu beramal dengan islam secara syumul dalam segenap aspek.

Melihatkan senario politik semasa yang sukar diduga, wajarlah anak muda menjauhinya sedikit demi sedikit. Malah mungkin ada yang sudah malas membaca akhbar kerana meluat dengan paparan berita di akhbar. Jangan disalahkan anak muda sahaja apabila ia berlaku sedangkan realiti dan gambaran yang diberikan kepada mereka berkenaan politik amat teruk sekali. Maka, tidak hairanlah ia berlaku.

Tidak cukup dengan itu pewartaan Akta Universiti dan Kolej Universiti yang melarang anak muda dari berkecimpung dengan politik telah menghasilkan anak-anak muda yang jauh dari politik. Maka, anak muda sibuk bergembira menikmati masa muda mereka dan gejala sosial makin meningkat. Maka, minda muda remaja hari ini hanya dipenuhi agenda menghiburkan diri dan keduniaan, agenda permainan games dan gajet-gajet terbaru, dan juga agenda mentaliti kelas ketiga. Maka, apa yang nak dihairankan apabila mulut mereka bertasbih frasa ‘Ahh, jijiknya Politik’

Namun, begitu kita harus sedar, politik dan kepimpinan itu merupakan perkara yang amat penting untuk diberi perhatian oleh anak muda pewaris bangsa dan negara. Ayuh kita imbas kembali sejarah Tanah Melayu sebelum kemerdekaan untuk kita menilai dan muhasabah akan kepentingan politik.

Gerakan kemerdekaan di tanah melayu bermula dengan kebangkitan semangat nasionalisme untuk membebaskan diri dari penjajahan barat dengan melihat kepada negara-negara lain yang bangkit menentang penjajah. Dari situ bermula episod kita menempa kemerdekaan.

Perana golongan Ulama’ berpendidikan agama dari Mesir dan negara luar banyak memberi kesan kepada kebangkitan kemerdekaan. Sedangkan ketika itu, masyarakat melayu masih lagi bingung dan kelu apa itu politik. Masyarakat Melayu meminggirkan politik. Mereka jauh dari politik, Pemikiran mereka hanya dibelengu penjajahan. Keyakinan dan kemahuan menguasi politik amat jauh dari impian mereka. Natijahnya, kita dijajah sekian lama, kerana kegagalan masyakarat kita untuk sedar betapa pentingnya politik dan pemerintahan.

Golongan Ulama’ inilah yang meniupkan semangat untuk menguasi politik dan menentang penjajah dalam minda masyarakat melayu. Banyak Madrasah ditubuhkan atas usaha mendidik pemikiran islam dan siyasah islam dalam minda orang melayu. Antaranya Madrasah Ihya As-Syarif di Gunung Semanggol yang menyaksikan bangkitanya Parti politik Hizbul Muslimin dan Madrasah Al-Diniah, Padang Rengas Perak menyaksikan tertubuhnya Angkatan Pemuda Insaf (API) dan menjadi pdang latihan bagi Angkatan Wanita Sedar (AWAS) untuk menuntut kemerdekaa. Selain itu Madrasah al-Mashor di Pulau Pinang ditubuhkan untuk menandingi sekolah inggeris dari sudut pentadbiran dan pengurusan yang dipelopori oleh Kaum Muda.

Gerakan ulama menanamkan ideologi dan pemikiran politik dalam masyarakat melayu ketika itu adalah tidak lain untuk membangkitkan semangat dan kesedaran untuk keluar dari kepompong penjajah. Mereka menggunakan media sebagai saluran utama untuk menanamkan semangat dan pemikiran politik dalam masyarakat melayu. Akhbar-akhbar berorientasikan politik, islam, kebajikan dan kesedaran mengambil tempat di Tanah Melayu seperti Utusan Melayu, Warta Negara, Warta Kinta dan sebagainya yang kebanyakkan penulisnya adalah lulusan Madrasah Ilya As-Syarif yang diasaskan oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Selain itu akhbar Al-Imam, Neracha, Lidah Benar dan Seruan Azhar semuanya cuba meniupkan semangat dan kesedaran politik untuk merdeka.

Akhbar Seruan Azhar secara khususnya menyeru golongan ulama supaya memainkan peranan penting bagi menyemaikan kesedaran politik dalam masyarakat. Ulama secara khusus diamanahkan perana serta memikul tanggungjawab ini dan mereka yang gagal melaksanakannya dianggap sebagai pengkhianat kepada bangsa, tanah air dan agama. Seruan Azhar juga mengenal pasti kemunduran orang melayu adalah disebabkan mereka kehilangan kebebasan politik lantaran mata mereka dibutakan dan fikiran mereka ditutup oleh penjajah yang telah merampas kebebasan mereka.

Sejarah-sejarah ini bukan cerita baru. Ia sebenarnya telah diberitakan kepada kita sejak bangku sekolah lagi. Namun, tidak ditekankan sama sekali kepada kita akan kepentingan untuk orang melayu mempunyai kesedaran dan pemikiran politik yang unggul untuk kita terus menerus memacu negara berlandaskan islam.

Sedih, sungguh sedih melihatkan politik yang jijik itu dipinggirkan oleh anak bangsaku. Yang berkesedaran islam pun memilih untuk meminggirkannya apatah lagi yang jauh dari islam. Sedangkan kita dahulu terjajah disebabkan masyarakat kita langsung tidak ambil cakna berkenaan politik, kini kita pula mengajak anak bangsa melayu untuk menjauhi politik dan kembali ke kepompong diri yang jumud.

Kita merdeka atas usaha golongan pejuang kemerdekaan meniupkan semangat dan kesedaran politik dalam masyarakat dan kini kita pula bertindak untuk memadam tiupan api semangat itu. Adakah mahu kita dijajah semula dan kembali ke sejarah lama? Sekiranya anak muda terus dijauhkan dari politik dan dimomokkan dengan politik kotor, tidak mustahil kita akan terjajah kembali, jika tidak secara fizikal, pemikiran dan rohani kita akan terus menerus dijajah.

Ayuh bangkitkan dan semarakkan kembali kesedaran politik islam dikalangan anak muda. Anak muda harus bangkit memberi penjenamaan semula kepada politik Malaysia. Jenama terbaik sudah pasti itulah ‘POLITIK ISLAM’ atau ‘SIYASAH ISLAMIYYAH” yang bermatlamatkan ‘Menegakkan Agama dan Mentadbir dunia dengan Islam’.

Itulah slogan politik anak muda masa kini. Buang jauh tasbih politik kotor yang dilafaz dimulut. Ayuh kita merencana untuk membangkitkan kesedaran politik islam dalam diri kita sendiri dan masyarakat sekelilling kita agar dengan politik islam, masyarakat melayu maju kehadapan bersamanya.

Ayuh kita renungkan kembali pesanan Imam Al-Ghazali

Dunia adalah ladang akhirat dan tidaklah sempurna agama tanpa dunia, sementara kerajaan & agama adalah 2 perkara berkembar. Agama adalah asas & pemimpin adalah pengawal. Sesuatu tanpa asas akan binasa dan sesuatu tanpa pengawas akan mudah sia-sia.”

Wahai anak muda sekalian, ayuhlah kita tanam kesedaran politik dalam diri kita agar kita membela islam bersamanya.

No comments: