Pages

Subscribe

Thursday, November 3, 2011

HIMPUN : Adakah Sekadar Pehimpunan Mingguan Sekolah?

HIMPUN : Adakah Sekadar Pehimpunan Mingguan Sekolah?

Perhimpunan HIMPUN yang dianjurkan untuk mengumpulkan sejutaumat islam di Malaysia bagi mempertahankan aqidah islam oleh NGO-NGO di Malaysia Sabtu lalu mendapat sambutan yang jauh dari jangkaan penganjur. HIMPUN yang mensasarkan seramai 100,000 orang islam untuk hadir hanya dihadiri oleh 5000 orang (menurut beberapa sumber).

Himpun mencetuskan fenomena berikutan isu gerakan Kristianisasi dan serbuan keatas Damansara Utama Methodist Church( DUMC) oleh JAIS atas tuduhan gerakan Kristianisasi terhadap Muallaf. Isu tersebut telah mencetuskan pelbagai respon dari pelbagai pihak samada parti politik mahupun NGO islam.

Fenomena HIMPUN disensasikan lagi oleh beberapa insiden antaranya adalah keputusan Pas untuk tidak menyertainya dibawah bendera Parti Islam Semalaysia namun padamasa yang sama memberikan kelonggaran pada mana-mana ahlinya untuk hadir dibawah kapasiti individu. Selain itu juga ia dihangatkan dengan isu penggantungan Professor Aziz Bari oleh UIAM setelah kenyataan beliau terhadap titah Tuanku Sultan Selangor.

Niat murni HIMPUN untuk mengumpulkan sejuta umat islam untuk mempertahankan aqidah islam mendapat sambutan dingin dari masyarakat islam Malaysia. Maka, beberapa persoalan timbul,

  1. Adakah umat islam di Malaysia terlalu tidak prihatin terhadap isu aqidah di Malaysia atau merasakan isu ini bukanlah isu penting kepada agama.
  2. Adakah populasi 61% umat islam di Malaysia tergugat dengan jumlah 9.1% masyarakat Kristian di Malaysia?
  3. Mengapakah penggabungan banyak NGO-NGO islam kecil di Malaysia gagal menarik penglibatan masyarakat islam sebaliknya pengaruh gerakan islam Massa yang besar seperti PAS Berjaya menarik ‘crowd’ untuk hadir menyertai kempen-kempen islam mereka?
  4. HIMPUN ini ditujukan kepada siapa, rakyat atau pemimpin?

Maka, ulasan penulis ini hanya sekadar untuk menjawab persoalan-persoalan diatas yang sebenarnya berlegar-legar diruang fakir penulis sendiri.

Melihatkan respon rakyat Malaysia terhadap HIMPUN melalui bilangan yang hadir pada hari tersebut, boleh lah dikatakan bahawa sambutan dingin dari masyarakat yang majoritinya beragama islam. Sedangkan konsert-konsert hiburan seperti Jom Heboh, konsert artis dalam Negara dan juga luar Negara jauh mendapat sambutan lebih memberangsangkan walaupun perlu membayar pada harga yang mahal, ini kan himpunan bermanfaat demi menegakkan agama.

Maka, sekiranya betul tanggapan bahawa masyarakat lebih memilih untuk hadir ke program hiburan berbanding program aqidah, maka ia adalah muhasabah terbesar kepada seluruh pemimpin umat islam di tanah air, apakah yang telah pemimpin lakukan sehingga rakyatnya menjadi teruk sebegitu sekali, mendewakan hiburan lebih dari agama. Menuding jari kepada pemerintah bukan sekadar menuding jari untuk mempersalahkan sebaliknya untuk sama-sama menilai bagaimana pentadbiran Negara telah mendidik dan mentarbiyah masyarakat untuk takut kepada Allah. Sedangkan tugas utama pentadbiran dan politik adalah untuk mengawal agama dan mentadbir manusia dengannya, maka sekiranya sebaliknya yang berlaku, ia menunjukkan kegagalan system kita untuk mentadbir rakyat untuk takut kepada Allah.

Sekiranya kita menganggap bahawa bukanlah rakyat tidak cakna kepada isu aqidah, namun mungkin mereka merasakan sebenarnya perhimpunan seperti ini tidak akan mampu memberi penyelesaian kepada masalah aqidah yang semakin meruncing dikalangan umat islam. Jangan kita hanya menyalahkan gerakan kritianisasi sedangkan salahnya dipihak kita yang lemah aqidah, dan usaha-usaha memperkukuhkan aqidah umat islam di tanah air diselaputi dengan hiburan melampau. Rakyat mungkin lebih memahami bahawa antara kristianisasi dan sekularisme yang membarah dalam jiwa umat islam hari ini, bahawa punca kelemahan aqidah umat islam adalah kerana sekularisme itu sendiri, maka yang dipersalahkan adalah kristianisasi bagi menutup ruang-ruang kejahilan kita yang mengagungkan sekularisma.

Menjawab persoalan kedua pula, sejauh mana majoriti umat islam berjumlah 61% tergugat berbanding masyarakat kristian yang hanya berjumlah 9.1% di Malaysia. Sedangkan pemimpin kita majoritinya islam, negara kita dilabel negara islam, Islam diletakkan sebagai agama rasmi didalam perlembagaan, kita menjuarai kepimpinan di OIC, mungkin juga menjuarai isu Palestine, penceramah bebas dan pendakwah bebas menyampaikan islam disetiap tempat, televisyen kita menyiarkan pelbagai rancangan islam(yang diselang selikan dengan hiburan tiada faedah) , maka apakah ini tidak cukup sehingga kita merasa tergugat dengan minority masyarakat kristian sehingga perlu menghimpunkan sejuta umat bagi mempertahankan aqidah? Benarkah kita tergugat?

Kalau dinilai melalui HIMPUN jawapannya sudah pastilah kita tergugat, namun persoalannya mengapa kita digugat sehingga sebegitu rupa sedangkan gerakan kristianisasi ini berlaku secara tersembunyi dan begitu rahsia sekali. Bukan secara terbuka melalui media seperti proses dakwah islam di Malaysia. Jawapannya mudah, apa yang kita agungkan sebagai islam dinegara kita selama ini hanyalah boneka kosong dalam erti kata lain tempelan islam yang menempel pada satu dasar sekularisme dan jahiliyah. Maka, tidak hairan sekiranya gerakan kecil seperti kristianisasi di Malaysia, mampu menggugat ‘kehebatan’ pelaksanaan islam di Malaysia.

Menjawab persoalan seterusnya, mengapa penggabungan lebih 1000 NGO islam ditanah air gagal menarik masyarakat untuk hadir ke perhimpunan penting bagi mempertahankan aqidah? Jika dihimpun ahli-ahli NGO-NGO ini sahaja rasanya pasti jauh lebih ramai dari kehadiran pada perhimpunan tersebut. Kebanjiran NGO-NGO islam ditanah air bagi memperjuangkan agenda islam mengikut cara masing-masing adalah fenomena yang tidak asing lagi. Namun, adakah kebanjiran NGO-NGO islam ini mampu memberi nilai tambah kepada perjuangan islam di Malaysia?

Keputusan Pas untuk tidak menyertai HIMPUN menimbulkan pelbagai respon masyarakat. Pelbagai tohmahan dilemparkan kepada Pas yang kini kononnya tidak lagi memperjuangkan agenda islam sebaliknya hanya mementingkan isu politik. Maka, kehadiran hambar di HIMPUN juga disalahkan kepada Pas yang enggan menyertai kempen tersebut atas tiket parti sedangkan lebih 1000 NGO lain bergabung mengapa begitu signifikan sekiranya hanya sebuah parti seperti Pas tidak menyertainya.

Pada pandangan penulis sendiri, inilah kepentingan dan keistimewaan Pas sebagai sebuah gerakan massa yang bukan sekadar memperjuangkan agenda tarbiyah dan dakwah sebaliknya juga memperjuangkan agenda politik islam. Pas mampu menghimpunkan ‘crowd’ yang jauh lebih ramai untuk hadir dalam acara mereka kerana sifat mereka sebagai sebuah gerakan islam yang besar, maka kelebihan itu wujud bagi mengumpulkan masyarakat untuk bersatu dibawah bendera mereka. Ini terbukti melalui siri-siri demonstrasi dan perhimpunan anjuran parti itu seperi Gerakan Mansuh ISA, Gerakan Mansuh PPSMI, dan Bersih V1 dan Bersih V2 walaupun diharamkan kerajaan. Itu jauh lebih baik dari perpecahan yang berlaku dikalangan NGO-NGO islam ditanah air yang mempunyai aspirasi yang sama untuk memperjuangkan sebuah Negara islam yang melaksanakan nilai-nilai islam seperti tuntutan Rabbul Jalil.

Menjawab persoalan terakhir, HIMPUN ini ditujukan kepada siapa, rakyat atau pemimpin? Mungkin ada yang menjawab ia ditujukan kepada semua manusia beragama islam. Melihat kepada 10 resolusi yang ingin dicapai oleh HIMPUN, penulis berpendapat ia ditujukan kepada rakyat dan pemimpin.

Rakyat digesa agar memperkukuhkan aqidah islam dalam keadaan suasana di Malaysia yang tidak lagi segan silu untuk melakukan maksiat secara terbuka dan promosi maksiat dilakukan secara berleluasa melalui media. Maka, tidakkah rakyat menjadi keliru?

Rakyat digesa agar memperkukukan aqidah islam dalam keadaan mereka dijahilkan dengan gerakan sekularisme dan hedonisme melampau. Mereka dijahilkan dengan lambakan filem filem hantu yang tidak langsung menimbulkan rasa takut kepada Sang Pencipta jauh sekali membuka minda dan menyedarkan diri untuk memantapkan jati diri menjadi muslim sejati. Maka, tidakkah rakyat menjadi keliru?

Sebagai kesimpulan, penulisan ini tidak bermaksud sama sekali memperkecilkan sebarang usaha kearah memperjuangkan islam di Malaysia, namun sebagai muhasabah kita bersama untuk berfikir, dimana lagi lompong-lompong besar utama yang patut kita tutup dengan cahaya islam. Perkara yang menjadi keutamaan kita umat islam untuk ditentang adalah sekularisma yang dibawa oleh pihak kafir untuk merosakan umat islam dari dalam secara tersembunyi. Semoga HIMPUN bukanlah sekadar menjadi perhimpunan mingguan disekolah sebaliknya berjaya menyampaikan hasrat mereka kepada pemimpinan dan masyarakat untuk mengambil tindakan segera berhubung isu yang menggugat kedaulatan islam di negara kita. Semoga Allah memberkati usaha mereka yang berjuang dijalan-Nya ikhlas hanya untuk-Nya.

No comments: