Pages

Subscribe

Sunday, September 16, 2012

Pramugari


Pramugari 

Dalam flight penerbangan dari Malaysia ke bumi Cork kali ini untuk meneruskan siri kembara ilmu dan pengalaman ini, terimbas dan teringat kisah pertama kali menaiki flight penerbangan antarabangsa 5 tahun dahulu ke Cork. Walaupun sebelum ini pernah menaiki kapal terbang, tetapi penerbangan antarabangsa agak berbeza dengan size kapal terbang yang besar dan servis yang sangat memuaskan.

Penerbangan kali itu agak ‘menjengkelkan’ kerana kami kurang berpuas hati dengan layanan dingin oleh seorang pramugari diatas pesawat tersebut. Maka, terus ingatan terimbau kepada seorang pramugari yang melayani kami ketika penerbangan pertama ke Cork dahulu. Saya masih ingat raut wajahnya wanita itu. Entah mengapa, apabila berbicara berkenaan penerbangan, terus saya akan teringatkan pramugari tersebut.

Setelah memikirkan sebentar, mengapa agaknya ingatan pada pramugari itu masih segar, saya akhirnya memahami hakikat kehidupan. Bukanlah kerana dia cantik dan seksi maka, saya sentiasa teringatkannya, namun ada sesuatu perkara yang menjadikan ia kekal sebagai memori. Jawapannya adalah kerana layanan beliau yang begitu baik dan mesra kepada saya yang pada ketika itu terkial-kial dengan pengalaman dan suasana baru.

Masakan tidak, masih teringat pertama kali menaiki pesawat dan duduk, tiba-tiba pramugari datang membawakan tuala panas dan diberikan kepada semua orang. Masing-masing berpandangan satu sama lain. Dalam hati berkata “ Amenda dia bagi nih. Nak buat apa ngan benda alah nih?”

Kemudian melihatkan penumpang lain disebelah mengelap mukanya dengan tisu panas tersebut, maka fahamlah saya itu tuala panas untuk mengelap wajah. Maka, wajah pun disental-sental membuang daki-daki diwajah. Kemudian pramugari datang mengambilnya semula dengan senyuman.

Banyak lagi perkara ‘janggal’ yang saya lakukan. Tidak membaringkan kerusi kebelakang kerana tidak tahu maka, terpaksa tidur dengan badan menegak. Selepas itu apabila diberitahu bahawa kerusi boleh dibaringkan, maka, tahulah saya ianya lebih selesa. Terkial-kial menggunakan alat hiburan yang diberikan, tidak tahu nak cucuk kemana 'earphone' itu.

Sepanjang penerbangan itu, beliau melayani kami dengan baik dan berborak dengan mesra bertanyakan latar belakang kami dan juga menceritakan pengalamannya diluar negara. Ketika itu hati berasa tenang dan tidaklah bergitu terasing.

Begitulah pengalaman pertama menaiki pesawat ke bumi orang. Ia sungguh bermakna.

Hakikatnya,  perkara yang membuatkan saya masih ingat kepada pramugari tersebut adalah kerana kebaikan dan kemesraan yang dihulurkan kepada diri tatkala diri merasa asing dengan persekitaran dan suasana baru. Maka, itulah impak kebaikan yang kita tinggalkan kepada orang, ia akan sentiasa diingati dan dikenang.

Beberapa hari sahaja lagi, adik-adik pelajar baru akan menjejakkan kaki ke bumi Cork untuk mengejar impian mereka. Abang-abang dan kakak-kakak akan bertungkus lumus menyediakan yang terbaik kepada adik-adik yang masih asing dengan persekitaran ini. Hakikatnya, manusia akan mengenang kebaikan dan budi kita ketika mereka berada dalam keadaan terasing, ‘vulnarable’ dan juga terpinga-pinga.

Pramugari tersebut telah mengajar saya ilmu kehidupan dalam ‘menawan’ hati manusia. Itulah skil dan teknik dakwah yang berkesan. Meninggalkan impak kepada diri individu yang disentuh oleh kita. Hulurkan kebaikan tanpa erti jemu.

No comments: