Pages

Subscribe

Friday, June 26, 2009

Betulkah Allah Maha Adil?

artikel dipetik dari www.ataphijau.com karangan Nur Islam...

Setiap dari yang beriman dan mengaku diri sebagai Muslim itu wajib mempercayai tauhid Rububiyah, Uluhiyah dan Asma’ Wa Sifat. Sekiranya kita meragui biar pun satu dari bahagian Tauhid ini, maka pasti akan terbatalah ‘akidah kita. Salah satu dari Nama Allah yang mulia adalah Al-‘Adl yang bererti Yang Maha Adil.

Kita sering mendengar dan membacanya di dalam Al-quran mahupun Hadith bahawa Allah itu Maha Adil. Sebagai umat islam, wajib untuk kita mempercayai bahawa keadilah Allah S.W.T itu tiada tandingannya melebihi segalanya yg bergelar makhluk. Allah sebagai Tuhan Sekalian Alam telah memberi panduan kepada manusia akan bagaimana kita harus menjalankan hukum dalam mendepani tugas kita sebagai Khalifah. Atas dasar keadilan, Allah menetapkan hukum kepada manusia yang harus dipatuhi dan dijalankan.

Firman Allah dalam Surah Yusuf ayat 40, ‘Sebenarnya hukum(undang-undang) hanyalah bagi Allah’….

Maka sebagai umat islam wajib bagi kita mempercayai bahawa undang-undang yang diturunkan oleh Allah adalah sebaik-baik hukum kerana ianya datang dari Khaliq yang Maha Adil. Tiada undang-undang ideology manusia yang setara dengan Hukum yang datangnya dari Tuhan yang Maha Adil. Maka atas dasar kefahaman betapa Allah itu Maha Adil, mengapa masih lagi manusia memilih untuk berhukum dengan hukuman ciptaan manusia?Allah menurunkan Al-Quran sebagai panduan untuk kita menjalankan hokum dan Rasulullah mengajarkan kita cara pelaksanaannya melalui Sunnahnya.

Allah berfirman dalam surah Annisa’ ayat 45: ‘ Sesungguhnya kami turunkan kepadamu Kitab (Alquran)dengan sebenarnya, supaya kamu melaksanakan hukum di kalangan manusia dengan apa yang telah ditunjukkan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi pembela kepada orang-orang yg khianat

Jika ditanya kepada umat islam pada hari betulkah Allah itu Maha Adil? Nescaya mereka akan berduyun-duyun mengakui keimanan mereka terhadap Keadilan Allah. Namun atas dasar keimanan apakah kita mengatakan Allah itu Maha Adil jika kita gagal dan ingkar dalam melaksanakan hukum Allah sedangkan iman itu adalah membenarkan dalam hati, menyebutnya melalui lisan dan menzahirkannya secara perbuatan. Jika kita menolak hukum Allah maka tepuk dada tanya iman, sejauh mana kita meyakini bahawa Allah itu Maha Adil. Jika kita masih lagi mahu menegakkan undang-undang manusia dan menepikan undang-undang Allah, maka betulkan kita meyakini bahawa Allah itu Maha Adil.

Firman Allah dalam Surah Al-An’am Ayat 115, ‘Telah sempurna Kalimat-Kalimat Tuhanmu dengan kebenaran dan Keadilan. Tidak ada perubahan-perubahan pada kalimatn-Nya. Ia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. ‘

Allah telah mengatakan bahawa setiap kalimah didalam Al-Quran itu adalah kebenaran dan keadilan maka setiap hokum dan perintah-Nya juga adalah kebenaran dan Keadilan. Namun umat islam pada hari ini lebih selesa memilih undang-undang ideology manusia dan menolak hukum yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita atas kesombongan dan kebongkakan kita. Lupakah kita akan mengapa Allah melaknat dan menghina kaum Bani Israel? Kerana mereka sombong, bongkak dan ingkar kepada hukum Allah.

Kita akan mengkeji dan mencebikkan bibir tatkala mendengarkan nama Mustafa Kamal At-Tartuk, bapa pemodenan Turki kononya sedangkan dialah yang menjadi punca kejatuhan Khalifah Islam. Dialah juga yang menjadi duri dalam daging menyemai ideology sekularisme dalam masyarakat islam. Dalam kekejian dan kebencian yang kita lemparkan kepada Mustafa Kamal At-Tartuk kita terlupa bahawa kitalah yang kini menjadi pewaris legasi perjuangannya. Mustafa Kamal At-Tartuk berjaya menyemai sekularisme dalam kehidupan masyarakat islam disebabkan kitalah yang menjadi pengikut setianya. Maka apakah layak bagi kita untuk mengkeji dia sedangkan dia berbangga mempunyai waris seperti kita.

Sekularisme yang menjadi kunci kepada demokrasi ideology barat, kini makin menjadi barah yang menghancurkan umat islam sendiri. Sekularisme menyerang system pemerintahan, system pentadbiran, system pendidikan dan juga system ekonomi. Kita semakin menjauhkan agama dari aspek kehidupan terutamanya dalam soal pentadbiran, perundangan dan pemerintahan.

‘Sesungguhnya akan terputus ikatan islam satu persatu. Dan setiap kali ikatan itu terputus manusia akan berpaut pada ikatan berikutnya. Bermula dengan ‘Al-hukm’ dan berakhir dengan ‘As-Solah’

Sistem nilai dalam kehidupan umat islam semakin hancur kerana tiadanya penguasaan oleh system pentadbiran dan pemerintahan yang berlandaskan syariat islam. Imam Al-Ghazali telah berpesan Agama itu satu asas. Pemerintah adalah pengawal. Maka sesuatu yang tidak ada asas akan runtuh dan sesuatu yang tidak ada pengawal akan hilang.” Kita semakin kehilangan nilai-nilai islam yang murni dalam kehidupan lantaran kealpaan dan kelekaan pemerintah yang sewajarnya bertindak menjadi pembela dalam mengukuhkan agama, dan sekiranya ini berlarutan maka nescaya agama islam akan runtuh dan binasa.

Allah juga telah menetapkan hukum-Nya yang hak dalam system ekonomi.

Firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 130, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah supaya kamu berjaya.”

Jelas Allah telah menetapkan hukumnya terhadap riba bahawa ianya haram dan dilarang sama sekali. Maka mengapa masih lagi kita dalam system pemerintahan dan pengendalian perbendaharaan Negara dan juga pengendalian ekonomi individu memilih dan berlumba-lumba untuk menggunakan system perbankan konvensional? Inilah pengaruh sekularisme yang menjalar dalam system ekonomi umat islam pada hari ini.

Usah kita katakan bahawa tiada pilihan selain perbankan konvensional kerana tatkala kejatuhan system nilai menyebabkan runtuhnya system ekonomi dan pentadbiran, system ekonomi barat yang berteraskan riba semakin menunjukkan kelemahan dan kepincangan, system ekonomi islam mula menunjukkan hasil dan kemajuannya. Maka, institusi perbankan konvensional berlumba-lumba untuk mencontohi system perbankan islam maka lahirlah CIMB Islamic, Maybank Islamic, HSBC Islamic dan pelbagai lagi yang berteraskan system islam. Inilah pilihan yang nyata bagi semua. Maka mengapa masih kita ragu Keadilan Allah dalam menetapkan hokum terhadap system ekonomi?

Sekiranya kita beriman dengan Keadilah Allah S.W.T, ianya tidak cukup disebut dan dilaung-laungkan dengan lafaz sebaliknya perbuatan dan amalan kitalah lah yang sewajarnya menjadi cerminan iman yang kukuh terhadap Allah. Marilah bersama-sama kita perangi Sekularisme mahupun dalam perundangan, pentadbiran, pemerintahan, pendidikan dan juga ekonomi.

Firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 104 ‘Hendaklah ada dikalangan kamu segolongan yang menyeru kepada kebaikn, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, mereka itulah orang yang mendapat kejayaan’.

Wallahu’alam

No comments: