Pages

Subscribe

Sunday, October 25, 2009

Shedot Super Sunday : Apabila Beyonce tidak bergelek

*Penyiaran gambar-gambar Beyonce tidak dapat dilakukan kerana tidak melepasi tapisan* *kerana terlalu seksi*

Fenomena membawa artis Hollywood ke Malaysia semakin menjadi-jadi. Lantaran permintaan yang hebat dari peminat dan tiadanya sekatan dari pihak Kerajaan, Malaysia yang kononnya diiktiraf sebagai sebuah Negara Islam melalui gagasan Islam Hadhari, melambakkan konsert-konsert ini sebagai wadah merancak perkembangan ketamadunan Islam Hadhari. Tamadun Islam Hadhari akan dikenali dalan sejarah sebagai sebuah Tamadun Islam yang mengembangkan music dan konsert barat sebagai sebuah elemen ketamadunan unggul. Sungguh ironi sekali. Malang betul bagi Tun Abdullah yang mempunyai gagasan idea membawa islam keperingkat yang lebih tinggi namun dicemari dengan konsert-konsert yang bukan sahaja tidak bermanfaat, malah mengundang pelbagai masalah social. Negara Islam terlebih beriya mengagungkan konsert artis Hollywood, pelik tapi itulah kenyataan.

Namun, bila ada golongan yang cuba menentang dan menghalang konsert-konsert ini, ada pula golongan yang tidak senang dengannya. Sering saya terbaca, tatakala Konsert Black Eyed Peas yang dianjurkan oleh syarikat arak terkemuka Guiness diharamkan kerana isu sebatan seorang model, Kartika kerana meminum arak, ramai masyarakat Melayu Islam yang marah dengan tindakan golongan yang mendesak mengharamkan konsert itu. Mungkin ada juga yang gembira kerana tindakan bijak dan islamik kerajaan yang hanya membenarkan konsert itu dihadiri oleh masyarakat bukan islam sahaja. Kalau bukan kerana isu sebatan arak menjadi topic hangat ketika itu, nescaya kerajaan tidak pernah terfikir untuk mengharamkan konsert itu kepada masyarakat islam. Begitu juga, apabila pengumuman konsert Beyonce yg dijadualkan pada 25 Ocotber 2009 ini ditunda, ramai yang memberi kata simpati pada penyanyi itu. Percayalah, yang pelik tapi benarnya adalah mereka-mereka yang marah, simpati dan sedih ini adalah orang Melayu Islam sendiri. Namun, bagi mereka yang anti konsert sebegini mesti anda terharu dengan tindakan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Penerangan atas tindakan mereka untuk menangguhkan konsert ini. Namun kepelikan yang menjelma adalah sebenarnya, pihak kementerian tidak pernah menghalang Beyonce dari beraksi di Negara ini, sebaliknya konsert itu ditangguh oleh pihak penganjur sendiri mungkin atas dasar kewangan dan sebagainya. Pelik tapi itulah kenyataannya. Pihak kementerian berkata, mereka tidak melarang selagi artis berkenaan mematuhi kod dan etika yang telah digariskan. Saya kira mungkin pihak kementerian tidak pernah menyaksikan bentuk aksi Beyonce di pentas dengan gelekkan pinggulnya yang lebih parah dari Inul yang pernah di haling dari mengadakan konsert di Malaysia dulu. Sedangkan artis itu pernah ditabalkan sebagai symbol seks dunia, dan Malaysia dengan bangganya mengiktiraf pengiktirafan sebegitu rupa kepada Beyonce. Alangkah bertuahnya Negara Malaysia. Pasti sekiranya menteri kementerian tersebut sendiri yang menyaksikan aksi beyonce bergelek, pasti terliur juga dia dibuatnya. Pelik tapi itulah hakikatnya

Saya terbaca keterangan Dato’ Zaid Ibrahim yang disiarkan dalam Harakah mengatakan bahawa isu konsert ini bukanlah perkara yang besar dan perlu sentiasa dihalang oleh Parti Islam Malaysia, kerana ada isu yang lebih besar yang perlu diberi penekanan. Beliau berkata sedemikian mengulas tindakan Dewan Pemuda Pas melancarkan kempen membatalkan Konsert Michael Learns to Rock. Betul, saya setuju, namun, sedar atau tidak pada tahun ini sahaja berapa banyak konsert-konsert artis Hollywood yang cuba dibuat di Malaysia. Bayangkan kerajaan pernah meluluskan Konsert Michael Learns to Rock yg hendak diadakan di bulan Ramadhan. Pelik tapi itulah kenyataan dan hakikatnya. Tatkala isteri kepada Perdana Menteri Malaysia, Datin Sri Rosmah Mansor berkobar-kobar menggalakkan rakyat untuk meneruskan tradisi bertadarus Al-Quran di bulan Ramadhan untuk menghidupkan bulan yang penuh Barakah itu, pihak penganjur dan kerajaan meluluskan Konsert Michael Learns to Rock di Genting Highland untuk merancakkan amalan di malam Lailatul Qadar. Oh, mungkin inilah amalan bidaah baru yang diadakan untuk menambah amalan pahala dan sebagai menghormati dan mengimarahkan bulan Ramadhan. Pelik tapi itulah kenyataan.

Saya juga pelik dengan tindakan kerajaan apabila suatu ketika Faizal Tahir menanggalkan baju dalam satu konsert secara langsung, dia terus dig am dari kaca Televisyen selama 3 bulan. Mungkin ramai yang bertepuk tangan memuji tindakan kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia kerana ia adalah perkara yang tidak senonoh. Tetapi yang peliknya adalah apabila Pussycat Dolls membuat konsert di Sunway Lagoon, kod pakaian yang diberikan kepada mereka adalah supaya tidak seksi namun sekiranya anda imbas kembali gambar-gambar sekitar konsert itu, pasti anda akan tertanya-tanya apakah definisi ‘seksi’ pihak penganjur dan kerajaan. Pussycat Dolls tidak pula diharamkan dari membuat konsert di Malaysia. Ramai yang menyedari jenis pemakaian Pussycat Dolls yang tidak ubah seperti seorang pelacur jalanan , namun pelik kerajaan masih meluluskan artis yang sebegini untuk beraksi dihadapan masyarakat untuk tujuan hiburan. Lelaki tanggal baju di gam, wanita tayang paha dan dada dialu-alukan. Pelik tapi itulah kenyataan.

Alasan yang kerap diberikan adalah untuk menjaga sensitivity masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Sempena pelancaran SATU Malaysia, semestinya kita perlu menghormati kaum Cina, Kaum India dan Kaum-Kaum lain yang menginginkan konsert-konsert begini. Saya pernah terbaca artikel karangan Uztaz Ridhuan Tee Abdullah, bekas pengacara Forum Perdana Hal Ehwal Islam yang terkenal, dia berkata alangkah kasihannya orang melayu. Demi menjaga kepentingan kaum lain, mereka terpaksa menggadaikan banyak benda. Saya sangat bersetuju dengan kenyataan beliau. Namun sangat ironi apabila, seorang berdarah keturunan Cina pula yang meluahkan rasa kasihan pada bangsa Melayu. Orang melayu sangat kasihan dibumi sendiri. Manakan tidak, demi menjamu masyarakat lain dengan hiburan tanpa batas, akhlak anak-anak muda Melayu kita digadaikan. Demi menghormati sensitivity kaum lain, bulan Ramadhan sanggup kita cemarkan. Demi menghormati hak kaum lain, maruah islam kita rendahkan. Alangkah kasihannya orang Melayu Islam di bumi sendiri. Kita laungkan ‘Hidup Melayu’ menggegak gempita, namun, kita membuat gadaian bersamanya. Hidup melayu menggadai maruah, mati Melayu menggadai tanah. Maka, mana lebih baik, hidup atau mati pejuang melayu? Pelik itulah kenyataan hidup seorang Melayu.

Mengapa kita perlu gusar dalam menjaga kebajikan hak kaum lain untuk berhibur. Cuba anda amati, berapa banyak konsert-konsert melibatkan artis-artis dari China, Hong Kong dan Taiwan yang membanjiri tanah air untuk memenuhi permintaan dan desakan untuk menghiburkan Masyarakat Cina di Malaysia. Tiada sesiapa yang pernah bising dan membuat kecoh akan perkara ini kerana ia adalah untuk menghormati kaum Cina di Malaysia yang menginginkan hiburan dan budaya asal keturunan mereka. Kita semua mengakui dan menghormati akan hal ini. Namun, yang menjadi persoalannya adalah mengapa apabila Konsert artis Hollywood hendak dibatalkan, kita dituduh tidak menjaga sensitiviti masyarakat? Konsert Hollywood bukan sahaja melibatkan masyarakat Cina dan India tetapi juga melibatkan Masyarakat Melayu Islam yang merupakan majority. Namun mengapa sensitivity masyarakat melayu tidak dijaga. Sensitiviti kaum lain hendak kita dahulu, tetapi sensitivity kaum melayu tiada siapa peduli untuk pertahankan. Alasan untuk menjaga sensitivity ini bukan dating dari masyarakat Cina mahupun India sendiri, tetapi masyarakat melayu yang menganggungkan Hedonism. Lantas member alas an isu masyarakat majmuk untuk menutup mata rakyat. Pelik tapi ia tetap kenyataan.

Pelik tapi benar. Apabila Konsert Avril Lavinge pada 2008 dibantah oleh sesetengah golongan, Kementerian Kebudayaan dan Kesenian dan Puspal membatalkan konsert tersebut. Semestinya ada yang mengucapkan terima kasih kepada kepekaan pihak kementerian kerana konsert itu dirancang diadakan sempena bulan kemerdekaan dan beberapa hari sebelum umat islam menyambut Ramadhan. Namun tahukah anda, bahawa pembatalan itu bukanlah disebabkan kepekaan mereka, namun alasan pembatalan adalah kerana kelewatan permohonan permit. Namun, yang menambahkan kepelikan, apabila Jemaah Menteri yang dianggotai majoritinya oleh orang Islam, meluluskan dan meneruskan Konsert tersebut. Jemaah Menteri menyogok hiburan barat kepada masyarakat Malasyia sempena ulang tahun ke-51 Kemerdekaan Negara. Mungkin inilah cara untuk menanamkan semangat Patriotisme dalam diri anak muda. Jemaah Menteri menggalakkan umat islam membuat persediaan menghadapi Ramadhan melalui konsert artis barat. Mungkin inilah cara persedian terbaik dalam menyiapkan rohani dalam menempuhi bulan penuh barakah. Pelik menjadi semakin pelik tetapi kenyataannya tetap sama.

Pelbagai karenah pelik masyarakat dan pemimpin dalam menghadapi isu Konsert artis Hollywood. Dulu, Malaysia bercita-cita menjadi Hub Makanan Halal sesuai dengan status Negara islamnya, namun, kini kita beralih kearah yang lebih moden mungkin, ingin menjadi Hub pengumpulan artis Hollywood. Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Penerangan pula nampaknya lebih selesa mempromosi budaya dan kesenian barat yang layak digelar Dewa Hedonisme sebaliknya budaya dan kesenian islam semakin dipinggirkan.Pelik bukan tapi itulah hakikat.

No comments: