Pages

Subscribe

Tuesday, May 25, 2010

Kehidupan..Hanyalah Sebuah Rungutan

Kehidupan.. .Hanyalah Sebuah Rungutan

Semasa aku masih berstatus kanak-kanak kecil apabila inginkan sesuatu, aku akan merengek memintanya dari mak dan ayah. Namun, apabila sudah besar sedikit, aku akan mula mengamuk dan merontak-ronta apabila inginkan sesuatu. Ketika masih kanak-kanak, apabila lapar aku akan menangis. Ketika masih kanak-kanak apabila mengantuk aku akan menangis. Sedikit kesusahan seperti lapar dan mengantuk, aku hanya mampu merengek dan membuat perangai. Sedikit merasa sakit dan pedih aku akan menangis dan merengek. Tetapi itulah fitrah kanak-kanak yang dicipta Allah untuk penjadi Qurratu ‘ayyun kepada ibu dan bapa. Tubuh yang kecil dan kerdil, tidak pula berdaya hanya mampu mengeluarkan sebuah tangisan dan rengekan apabila sesuatu yang tidak disukai dan tidak menyelesakan menguji diri.

Apabila telah mula melangkah kaki ke alam persekolahan didarjah satu, masih segar diingatan, saat bangun pagi dikejutkan oleh mak dan ayah adalah sesuatu yang sungguh sukar. Tatkala dikejut bangun pagi untuk kesekolah, aku sungguh liat, lalu ayah mendukung pergi ke bilik air. Sambil mata terpejam dalam dukungan ayah, mulut mula merengek dan menangis tidak mahu ke sekolah. Lalu, ayah membawa pergi kebilik air lalu dijiruskan air untuk mandi. Dengan mata masih terpejam, mulut masih merengek-rengek. Saat air yang sungguh sejuk menyentuh kulit kepala, badan terketar melompat dan terus mengamuk kepada ayah. Ayah hanya tersenyum melihat telatah aku. Lalu ayah meminta emak menjerang air panas didapur untuk dicampurkan dengan air sejuk supaya lebih suam dan menyelesakan. Maka, ayah pun memandikan aku dengan air suam yang selesa, maka rengekan dan tangisan pun semakin reda. Lalu emak pun menyiapkan pakaian seragam dan menyikat rambutku dengn kemas dan rapi. Lalu ayah memberi wang saku dan aku menunggu kawan-kawanku untuk berjalan bersama-sama kesekolah. Namun setelah beberapa bulan aku mula merungut kepada ayah.

Ayah, adik tak mau pi sekolah jalan kaki, adik tak larat nak jalan sebab jauh. Adik nak pi naik gerek. Ushu dengan Din pi sekolah naik gerek. Adik nak pi sekolah naik gerek macam depa”

Lalu, ayah membawa aku ke kedai membelikan basikal baru untuk ditunggangi ke sekolah setiap hari. Selang beberapa bulan, aku kembali mengadu dan merungut kepada ayah.

“ Ayah, adik tak mau la pi sekolah naik gerek. Nanti nak balik tengahari panas. Adik tak larat. Ayah hantaq adik pi sekolah la pagi-pagi

Lalu, ayah pun menghantar aku setiap pagi ke sekolah sebelum dia pergi ke kerja. Selepas, beberapa bulan, aku kembali merungut dan mengadu kepada ayah.

Ayah, adik tak mau la pi sekolah ngan ayah, sebab ayah selalu mai ambik adik lambat. Nanti adik kena tunggu lama-lama kat sekolah sorang-sorang. Adik nak pi sekolah dengan van Tok Wan”

Maka, ayah pun membenarkan aku untuk menaiki van Tok Wan yang memang mengambil dan menghantar budak-budak kesekolah. Begitulah rungutan demi rungutan yang aku berikan kepada ayah. Ada sahaja yang tidak kena. Ayah pula hanya melayan kerenah aku memandangkan aku masih anak bongsu ketika itu. Biasalah, anak bongsu kan lebih manja ragamnya. Abang-abang tidak pula diberi kelebihan seperti itu.

Sekolah rendah merupakan pengalaman yang manis. Namun, ada sahaja gelagat dan rungutan yang selalu aku berikan kepada ayah. Duit saku tidak cukuplah, beg sekolah beratlah, kasut sekolah sudah buruklah, kerja rumah banyaklah dan bermacam-macam lagi rungutan seorang kanak-kanak yang apabila ditimpa sedikit kesusahan, terus akan mengadu dan merungut kepada ayah. Namun, jaun didalam hati, aku merasakan alam persekolahan tidak begitu menarik. Yang membuatkan aku pergi ke sekolah hari-hari adalah untuk bermain bersama rakan-rakan. Namun, Alhamdulillah, keputusan peperiksaan tidak pernah mengecewakan mak dan ayah. Aku ingin cepat besar dan pergi ke sekolah menengah untuk merasai pengalaman baru yang lebih mengujakan dan menyeronokkan. Pernah ku ajukan rungutan kepada ayah, aku tidak mahu lagi ke sekolah rendah, ma uterus ke sekolah menengah. Telatah tidak matang itu disambut ayah dengan senyuman.

Apabila menjejaki ke sekolah menengah, pemikiran semakin matang, namun perangai masih tetap sama. Masih sentiasa ingin merungut itu dan ini. Hidup disekolah asrama memerlukan aku untuk lebih banyak berdikari. Jika sebelum ini, makan pakai semuanya diuruskan oleh emak, kini semuanya harus sendiri.

Ayah, adik malas laa nak sekolah menengah nih sebab adik kena buat semua benda. Adik tak suka la”

“Ayah, adik tak suka laa sekolah kat Ipoh nih. Tak boleh balik tiap-tiap minggu sebab jauh. Kalau nak balik pun kena naik bas, 3 jam, lama la, payah pulak tu nak beli tiket”

Namun, kegembiraan disekolah menengah tiada terkata. Bersama kawan-kawan baru dan pelbagai aktiviti di sekolah sudah cukup mengisi masa untuk mendidikku. Kehidupan di sekolah menengah aku teruskan dengan penuh keriangan dan kenangan manis. Namun, jauh disudut hati aku merasa malas untuk belajar. Tiap kali peperiksaan menjelang tiba, pasti aku membuat perangai rasa ingin balik rumah dan sebagainya. Pernah aku merungut kepada kawanku, akan kemalasanku untuk belajar.

Man, aku sebenaqnya tak suka sangat belajaq kat sekolah. Tak bebas. Dah la kena pakai uniform tiap-tiap ari. Nak outing kena mintak kebenaran la. Macam-macam la. Aku nak belajaq kat university la. Lagi seronok.”

Namun, pembelajaran disekolah aku teruskan dengan baik, dan lagi keputusan peperiksaan tidak pernah mengecewakan. Akhirnya, Allah melapangkan rezeki memberi kejayaan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Tahun satu dijalani dengan penuh semangat. Maklumlah pengalaman pertama diluar negara, apatah lagi menjadi pelajar Universiti. Tahun dua pula dijalani dengan semangat yang semakin hari semakin pudar. Namun, bila mengenangkan Mak dan ayah dikampung, kuteruskan jua pembelajran ini. Namun, tiap kali peperiksaan tiba, dengan tekanan untuk belajar subjek yang susah dan banyak, sering sahaja ingin ‘drop’ bidang ini dan belajar bidang yang baru. Namun, detak hati mengatakan itu adalah tindakan bodoh. Kerap kali menelefon kerumah mengadu kepada ayah akan kesusahan peperiksaan

“ Ayah, periksa adik susah laa. Adik tak boleh jawab. Adik dah baca tapi tak ingat sebab banyak sangat. Banyak laa subjek nak kena baca. Dah tu semua nak kena hapai pulak tuh. Adik tak suka la belajaq. Adik suka kalau boleh kerja terus. Senang sikit.”

Dalam hati terasa alangkah bagusnya untuk menghabiskan pembelajaran diuniversiti ini dengan cepat dan melangkah kaki kea lam pekerjaan. Pasti, alam pekerjaan jauh lebih menarik dan menyeronokkan.

Begitulah ragam kehidupan semenjak kecil. Suka merungut apabila diberi kesusahan dan selalu merasakan benda-benda lain adalah lebih baik dan menyeronokkan. Ketika ditahun pertama pengajian, aku merasakan subjek yang dipelajari adalah membosankan dan seperti tiada perkaitan dengan bidang perubatan. Hanya belajar teori didalam kelas semata-mata amatlah membosankan. Dalam hati terdetak, kan seronok kalau jadi Final Med, boleh pergi ‘clinic’ dan belajar macam-macam. Boleh jumpa pesakit dan boleh ‘experience real patient’. Kalau 1st year 2nd year hanya boleh membuat ‘physical examination’ dan mengambil ‘history’ melalui sebuah lakonan. ‘Physical Examination’ juga tidak menunjukkan sebarang ‘abnormality’. Maka semua yang dilihat adalah tindak balas normal sahaja, bukan seperti apa yang akan dilihat dari pesakit sebenar. Maka, terasa ingin menjadi pelajar tahun akhir dengan segera.

Namun, aku pasti, saat melangkah kaki menjadi pelajar Tahun Akhir, pasti aku akan merungut lagi. Aku pasti akan merungut tentang betapa banyak subjek yang harus aku belajar. Aku pasti akan merungut terpaksa menunggu dihospital sehingga lewat petang membontoti ‘Consultant’. Pasti aku akan merungut untuk segera habis peperiksaan kerana malas mahu belajar lagi kerana merasakan sudah letih dan terlalu banyak yang perlu dihafal dan sebagainya. Maka, hati akan berdetak untuk segera habis dan ingin bekerja secepat mungkin.

Namun, aku sangat pasti, saat melangkah kaki ke alam pekerjaan, rungutan demi rungutan pasti aku lemparkan. Pernah sekali terbaca status Facebook seorang sahabat yang sudah bergelar doctor.

Tak sukanya pergi OPD(Out Patient Departement), sama macam tak suka buat oncall

Aku pasti, aku juga nanti aku begitu. Pasti merungut dengan oncall dan postcall nyer. Merungut tentang terpaksa melayan pesakit yang ramai, terpaksa melayan karenah jururawat yang kadangkala menyakitkan hati dan menjengkelkan. Rungutan pasti akan berterusan.

Namun, kini bila ku singkap kembali hidupku sedari mula, sungguh hidupku ini hanyalah sebuah rungutan yang tiada hujungya. Tidak pernah merasa puas dengan apa yang ada, dan sentiasa menginginkan sesuatu yang lebih dan lebih. Namun bila sudah diberikan, aku merungut pula tentang itu dan ini. Benarlah kehidupan manusia ini hanyalah sebuah rungutan yang berpanjangan.

Namun, aku kini telah dewasa, bukan lagi kanak-kanak yang jika merengek, ayah hanya akan tersenyum memahami. Maka pastinya kehidupan yang kulalui kini tidak boleh lagi hanya menjadi sebuah rungutan yang tidak berpenghujung. Apabila kesusahan datang melanda, cepat sungguh aku merungut dan melatah. Lantas berputus asa dan menginginkan sesuatu yang lain. Apabila diuji Allah dengan sedikit kesusahan, aku cepat berputus asa, sedangkan ujian itu adalah sebuah Marhalah untuk meningkatkan aku ke peringkat yang lebih baik. Namun semua itu aku tidak sedari.

2 perkara yang menjadikan hidup kita dipenuhi dengan rungutan. Satu, tiadanya rasa syukur yang benar-benar berterima kasih kepada Allah akan segala nikmat yang diberikan pada ketika itu, samada kesenangan mahupun kesusahan. Kegagalan untuk menjadi manusia yang bersyukur, menjadikan kita manusia yang hanya tahu merungut disebabkan kesusahan. Sedangkan terlalu besar nikmat yang Allah kurniakan, namun, dibutakan oleh hati kita yang gagal mengerti apa itu sebuah kesyukuran

Yang keduanya, adalah tiadanya sifat sabar dalam diri. Sikap berputus asa dan merasa lemah adalah lantaran dari tiadanya sikap sabar yang disematkan dalam diri. Kesabaran adalah sebuah pakaian harian seorang muslim yang perlu dipakai setiap masa. Seperti mana kita memakai pakaian sebagai satu keperluan asas, kerana menjaga maruah, melindungi diri dari panas, sejuk dan sebagainya, begitu jugalah kesabaran. Ia adalah pakaian harian kita. Kita tidak suka memakai pakaian yang buruk tetapi suka memakai pakaian yang cantik. Begitulah juga kesabaran, ia adalah pakaian harian yang cantik yang kita idamkan. Ingatlah firman Allah, Fasabrun Jameel, Sabar itu Cantik.

Hidup aku ini tidak harus lagi merungut akan kesusahan, kerana masih ramai yang jauh lagi susah dari kita. Hidup ini tidak harus merungut akan kesusahan, kerana kesusahan itu adalah perkara terbaik yang ditakdirkan Allah untuk kita. Diberikan perkara terbaik, maka, mengapa masih harus merungut. Kehidupan manusia..bukanlah sebuah rungutan yang tiada sudahnya, tetapi adalah satu perjalanan dalam sebuah kesyukuran.

Maka, perlu dikurangkan rungutan-rungutan berbentuk status Facebook dan Yahoo Mesengger kerana kita hanyalah cuba memberitahu kepada seluruh masyarakat betapa kita sebenarnya manusia yang tidak bersyukur dan hanya tahu merungut. Kita merungut kepada seluruh dunia atas kesusahan, namun, rungutan selayaknya hanyalah pada Allah. Artikel ini ditulis sepenuhnya sebagai pesanan dan peringatan kepada diri sendiri semata-mata.

1 comment:

Muaz Nabil said...

conclusion yang menariks! :)
thanks for the reminder shidot