Pages

Subscribe

Friday, January 15, 2010

You Lazy Bum!!!

Saya merupakan seorang yang malas berfikir. Berfikir membuatkan kepala saya menjadi serabut dan berfikir perkara-perkara yang serius adalah sesuatu yang sangat membosankan. Makanya, saya sangat malas untuk berfikir tentang isu-isu semasa dan sebagainya. Sewaktu di sekolah menengah, saya menyertai pasukan bahas sekolah. Namun, saya sebenarnya adalah seorang yang malas berfikir. Saya akan bergantung harap pada ahli-ahli pasukan yang lain untuk mengeluarkan pendapat-pendapat dan idea, dan saya tulis dan hafal. Pada hari pertandingan saya cuma mengorek kembali ayat-ayat rakan-rakan dan mengeluarkannya dengan lantang ibarat pemikiran sendiri. Begitulah lagak seorang pendebat yang malas berfikir. Kadang kala apabila di aju ‘Izin laluan’ oleh pihak lawan, terpana dan ternganga sebentar jika soalan tersebut tidak pernah kami bincang sebelum ini. Kebolehan saya berfikir secara spontan memang sangat teruk.

Kemudian, melangkah kaki ke KMB, saya masih meneruskan tabiat lama, malas berfikir. Di KMB ada satu subjek ‘kegemaran’ semua pelajar, Theory of Knowledge ( TOK ) yang mana bertujuan mendidik dan melatih pelajar untuk berfikir secara kritis dan rasional. Kelas-kelas TOK akan membuatkan pelajar mengangguk tanda bersetuju sambil air liur meleleh-leleh disebabkan kekaguman terhadap fakta dan sebagainya. Guru TOK saya, Miss Loh Mei Lin, memang seorang yang sangat berdedikasi. Di awal semester, beliau menyuruh semua pelajar membuat log book dan menulis pendapat dan idea masing-masing kedalam buku tersebut berkenaan apa-apa sahaja isu dan kemudian beliau akan kutip dan check. Sudah pastilah saya buat tidak kisah sahaja. Dalam fikiran, ‘what a boring thing to do’. Pada suatu hari, Miss Loh mengutip buku log kami dan sudah pasti saya belum tulis apa pun dalam buku itu. Maka saya segera menulis dalam masa 5 minit sahaja dan hantar. Kemudian Miss Loh panggil semula untuk memulangkan buku tersebut dan berkata “ You Lazy Bum!!”. Beliau juga turut menulis frasa yang sama dalam buku log saya.

Terpana dan terkesima sebentar, mendapat kata-kata sebegitu dari seorang guru. Beliau berkata sedemikian kerana beliau tahu, saya hanya menulis tentang satu isu sahaja sedangkan masa yang diberikan sudah berbulan-bulan untuk berfikir. Kemudian balik ke bilik, saya berfikir panjang dan sejak dari itu, saya mula sedikit-sedikit untuk belajar berfikir dan ketika didalam kelas TOK mendengar dan cuba berfikir walaupun dalam keadaan yang sangat mengantuk. Sehingga ke hari ini, perkataan ‘You Lazy Bum!!’ akan bermain di minda tatkala saya malas berfikir dan wajah Miss Loh sentiasa bermain di minda. Haha. Jika dulu buku log TOK menjadi tempat untuk menulis apa yang difikirkan, kini zaman telah berubah, blog menjadi mediumnya pula.

Begitulah karenah saya yang malas berfikir. Berfikir merupakan sesuatu yang menakjubkan. Allah menciptakan manusia dengan akal dan kebolehan berfikir. Itulah yang menjadikan manusia sebaik-baik ciptaan Allah. Kemampuan berfikir adalah anugerah yang tidak terhingga. Namun, ramai manusia yang tidak mahu dan malas menggunakan akal untuk berfikir.
Apa bezanya manusia yang tidak berfikir dengan haiwan yang tidak dapat berfikir? Steven Covey dalam bukunya ada mengatakan “ The person who doesn’t read is no better off than the person who can’t read”. Begitulah juga manusia yang tidak berfikir adalah sama sahaja dengan haiwan yang tidak mampu berfikir. Allah juga melaknat manusia-manusia yang tidak mahu berfikir.

“Dan tidak ada seorangpun akan beriman kecuali dengan izin Allah; dan Allah menimpakan kemurkaan kepada orang-orang yang tidak mempergunakan akalnya”.( Yunus: 100)
Berfikir secara kritikal bukanlah sesuatu anugerah yang ‘exclusive’ hanya untuk orang-orang tertentu tetapi ia adalah keupayaan semua manusia kerana Allah menngaugerahkan aqal kepada semua manusia untuk berfikir. Namun, kemampuan berfikir perlu diasah dan dipelajari dan dipraktikkan. Ramai dari kita yang malas untuk berfikir kerana merasakan berfikir terlalu banyak akan membuatkan kepala kita berserabut dengan terlalu banyak benda. Terlalu banyak berfikir akan membuatkan hidup menjadi tidak bahagia. Ini adalah alas an manusia-manusia yang malas berfikir. Adakah mau anda menggunakan alas an ini di hadapan Allah nanti apabila disoal apa yang kamu lakukan dengan Aqal yang telah Aku kurniakan?
Bila kita berfikir dan merasa serabut kita akan cenderung untuk menarik diri dari berfikir. Buat permulaan latih diri berfikir sedikit demi sedikit. Jangan terlalu memaksa diri. Lama-lama ia akan menjadi kebiasaan dan anda akan berfikir walaupun tanpa disuruh. Kemudian improve diri anda untuk berfikir secara spontan dan membuat keputusan dengan cepat dan bijak. Ini semua adalah skill yang boleh dipelajari dan diasah. Sikap malas yang membuatkan kita tidak mahu berfikir dan mencuba.

Sikap ‘simple minded’ sesetengah orang yang tidak mahu berfikir adalah sesuatu yang salah. Orang yang ‘simple minded’ tidak mampu untuk menjadi pemimpin kerana bagi seorang pemimpin terlalu banyak perkara yang perlu difikirkan untuk membangunkan manusia. Bukankah semua dari kita dalah khalifah iaitu pemimpin. Maka sikap ‘simple minded’ bukan untuk kita yang bergelar khalifah. Bagi seorang daie dan pejuang agama Allah; sikap ‘simple minded’ juga bukan untuk anda. Seorang daie dan pejuang perlu memikirkan strategy untuk berdakwah dan membangunkan manusia. Bagaimana seorang yang simple minded mampu untuk melakukan itu semua. Seorang yang ‘simple minded’ tidak mempunyai kepekaan terhadap isu sekeliling. Kekurang berfikir akan membuatkan kita tidak peka terhadap persekitaran yang memerlukan tindakan segera. Berubahlah dari seorang yang ‘simple minded’ kepada seorang yang kritis kerana ia adalah skill dan kebolehan yang perlu diasah dan ia adalah keperluan kepada seorang manusia bergelar pemimpin dan daei.

Rasulullah bukan seorang yang ‘simple minded’ seperti kita. Hidup Baginda banyak dihabiskan untuk berfikir. Baginda seorang yang sangat kuat berfikir, berfikir tentang Kebesaran Allah, berfikir tentang strategy dakwah yang baik, berfikir tentang strategi perang yang effektif, berfikir tentang pentadbiran Negara, berfikir tentang ekonomi umat islam, berfikir tentang isu-isu kekeluargaan dan pelbagai perkara lagi yang menjadi buah fikir Baginda. Kenapa umat islam hari ini begitu malas berfikir dan mencontohi Baginda. Kemalasan berfikir adalah punca umat islam begitu mundur dan terpinggir dalam segenap bidang. Umat islam layak dipanggil “YOU LAZY BUM” kerana kita malas berfikir.

Kenapa kita perlu befikir? Kerana ia adalah perintah dari Allah buat semua manusia yang dianugerahkan Aqal. Dalam Al Quran kata akal dalam bentuk derivasinya tidak kurang disebut sebanyak 48 kali .Allah sering berfirman dalam Al-Quran,

“…Apakah kamu tidak berfikir?”

Berfikir akan membuatkan kita menyedari hakikat penciptaan dan melihat betapa besarnya keagungan Allah. Berfikir bukan terbatas setakat melihat alam dan cuba memahami Kebesaran Allah, tetapi berfikir dari segenap aspek kehidupan yang mana ia akan mendekatkan diri kita dengan Allah. Berfikir tetang isu politik Negara akan mendekatkan diri kita dengan Allah. Berfikir akan kelemahan system ciptaan manusia dan berfikir bagaimana cara untuk menegakkan system Hakimiyyah Allah. Berfikir tetang isu ekonomi akan mendekatkan diri kita dengan Allah. Berfikir akan kelemahan system ekonomi ciptaan manusia berteraskan riba dan gharar. Maka berfikir jalan terbaik untuk membanteras riba dan sisa-sisa jahiliyyah dalam kehidupan. Berfikir tentang isu semasa dan kesannya terhadap kehidupan kita sebagai seorang muslim. Ia akan menjadikan kita peka terhadap kehendak sekeliling dan akan mendekatkan diri kita dengan Allah. Berfikir dari sekecil-kecil isu, sehingga ke sebesar-besar isu kerana ia akan mendekatkan diri kita dengan Allah. Be an Observer dan kemudian berfikir. Lihat perkara yang berlaku sekeliling anda dan berfikir. Fikir.Fikir.Fikir.

Berfikir merupakan satu-satunya jalan untuk kita mendekatkan diri dengan Allah. Al Maraghi menegaskan bahwa akal dapat membimbing manusia mendapatkan petunjuk (hidayah) dari Allah . Jika kita membaca Al-Quran dan tidak berfikir maka ia tidak akan medekatkan diri kita dengan Allah walaupun diulang bacaan seribu kali. Berfikir itu jalan menuju Allah. Maka berfikirlah. Jika kita lihat alam dan tidak berfikir, sia-sia jadinya. Ia tidak mendekat diri dengan Allah. Jika kita lihat nasib umat islam dan tidak berfikir, kita tidak akan berubah untuk mendekatkan diri dengan Allah.

Berfikirlah. Fikirkan tentang ciptaan Allah yang Maha Kuasa, berfikiran dengan hati yang tulus untuk mencari kebenaran dan melihat kebesaran Allah.Berfikirlah. Fikirkan tentang isu-isu terkini, berfikiran secara kritikal, fikir dengan mendalam. Berfikirlah. Fikirkan tentang kehidupan, berfikir secara rasional dan relevan. Berfikirlah. Hidup dengan berfikir. Fikir sampai ke mati.

No comments: